“Janji sudah ditepati, kini masa balas budi..” Fuhh, kalu aku ni piem..pasti aku lantik penulis lirik ni jadi menteri..mungkin menteri menerang. Kalu penulis lirik ni berkelulusan tinggi, doktor falsafah contohnya, aku tambah lagi potfolio pelbagai-media dan komunikasi. Tapi tema hari kemerdekaan dan lirik lagu tema ini dikritik, dikutuk, dipermainkan dan diperlekehkan oleh ramai rakyat terutamanya dari parti-parti bukan kawan. Maka seluruh kabinet Jemaah Menteri sehati sejiwa berkeras menetapkan bahawa tema dan lirik ini kekal dan akan tercatit dalam sejarah dan akan dibukukan selamanya. Sorang menteri dengan jangka hayat terakhir dalam kabinet membentak bahawa ini adalah hak kerajaan yang memerintah. Alangkah bebalnya. Inilah yang dikatakan sindrom kolektif bebalisme.

La..ada lak yang bertanya apa yang bebalnya? Itu tanda dah kena sindrom ni la tu. Pertamanya, kita perlu tahu apakah janji-janji yang menjadi budi tersebut. Kemudian baru kita tahu apakah telah ditepati. Dan akhirnya apakah bentuk balasan untuk janji budi tersebut. Masalahnya dalam kerajaan demokrasi berparlimen ni..yang memerintah adalah kerajaan rakyat, ertinya rakyat yang memberi kuasa dan amanah untuk parti politik pilihan membentuk kerajaan mentadbir Negara dengan adil dan saksama. Menjaga keamanan dan keharmonian masyarakat. Membangunkan ekonomi dan meningkatkan taraf hidup rakyat. Menjaga keselamatan dari ancaman dalaman dan luaran. Menjamin masa depan dengan sistem pendidikan terbaik. Dan lain-lain amanah dan tanggungjawap yang kita, rakyat, berikan.

Kita ini maknanya boss/majikan la. Menteri kabinet dengan bantuan pekerja kerajaan tu pekerja kita la. Kita bayar gaji mereka dengan titik peluh membayar cukai pendapatan, perniagaan dan pelbagai lagi jenis cukai. Selain gaji dan pelbagai elaun dan keistimewaan, kita bagi juga mereka peluang berasuah dengan segala bentuk penyelewengan mencipta kekayaan sejak merdeka dulu lagi. Dan kita tetap memilih mereka setiap penggal pilihanraya. Sungguh besar pengorbanan dan budi kita kepada parti pemerintah ini! Kadang-kadang kita merasakan segala jenis pembangunan yang dinikmati selama ini adalah sekunder kepada objektif primer memperkayakan golongan elit pemerintah dan yang sewaktu dengannya. Pembangunan ekonomi hanyalah semata-mata hasil sampingan! Rakyat pulak mengalami sindrom kolektif bebalisme.

Apabila kita diseru supaya membalas budi maknanya parti memerintah beranggapan bahawa segala bentuk nikmat dunia Malaysia ini adalah hasil sukarela mereka mentadbir tanpa sebarangan pulangan apa pun selama ini. Tiada konsep amanah dan tanggungjawap kepada rakyat. Tiada mereka mahu jawatan tersebut tetapi hanyalah semata-mata mahu berbudi kepada rakyat. Sungguh angkuh. Sungguh hipokrit. Sungguh bebal.

Teringat aku bila Umno kalah di Kelantan dulu, gimana segala bentuk tekanan dikenakan oleh kerajaan Barisan Nasional kepada pemerintah negeri. Juga apabila kalah di Terengganu, wang royalti minyak serta merta disekat dan menjadi wang ehsan. Manakala Kelantan masih dinafikan hak royalti minyak sampai sekarang. Tanpa memikirkan nasib melayu yang 99% mendiami negeri-negeri tersebut. Kekal menjadi negeri-negeri terbawah dalam paras kemiskinan. Ini kerana keangkuhan Umno menyalahkan penduduk-penduduk Kelantan dan Terengganu kerana tidak mengundi kemenangan mereka, “ Puok-puok tu la bodo tok undi kami. Pade muko!”. Kalu la mereka bersikap, “ Gapo saloh kita..semuo pakat tok undi kito nih?”, mungkin mereka berpeluang memerintah kembali Kelantan. 

Dengan apa cara sekali pun parti melayu Islam PAS tidak boleh diperkasakan. Alangkah baik jika Umno senyap-senyap, jika takutkan MCA dan MIC, berkerjasama menyokong dan menampung kekurangan pentadbiran PAS untuk kepentingan melayu Islam. Atau sebagai eksperimen akan keberkesanan model politik Islam, yang Umno sepatutnya mempunyai cita-cita untuk membentuk model yang lebih baik. La ni negeri-negeri Selangor, Kedah dan Pulau Pinang juga mengalami tekanan yang hampir sama. Konsep federalisma, hubungan dan hak negeri-negeri dengan kerajaan persekutuan menjadi kaburgelap. Sindrom kolektif bebalisme.

Dan rakyat/majikan diseru membalas budi kerajaan/pekerja. Lihat saja la cara kehidupan elit-elit politik yang kita beri amanah memerintah ni. Siapa yang tidak jutawan dalam kabinet menteri kita? Hari ni jadi menteri, besok terus cerdik anak beranak berniaga menjadi jutawan serta merta. Menantu pun tiba-tiba lak jadi pandai berniaga. Habis anak beranak ipar duai sepupu sepipit jadi pandai berniaga dan kaya raya kerana budi rakyat. Nah! Tiba masanya janji ditepati!

Hampir separuh pengundi rakyat Malaysia mengundi parti bukan BN kerana mual dengan kegagalan Umno/BN memerintah dengan amanah dan bertanggungjawap. Mual akan keangkuhan Umno mendabik dada seolah-olah hanya mereka berhak kepada kuasa politik pemerintah, yang pasti dulu, kini dan selamanya dipergunakan untuk kepentingan sendiri , sambil mengungkit-ngungkit tanpa malu ntah apa yang dianggap budi mereka kepada rakyat. Ntah janji apa yang ditepati. Ah Jip Gor..janji apa?


BONSAI