Kalau benar Najib serius tentang pengorbanan, hanya satu yang beliau patut lakukan: berpakat di kalangan pimpinan UMNO, panggil perhimpunan agong khas, kesemua barisan kepimpinan itu berhenti dan berikan ahli yang ramai-ramai memilih seorang pemimpin yang tidak berada di dalam acuan yang dibentuk oleh Dr Mahathir itu. Jika hendak dilakukan, adakan sebelum pilihanraya ini.


Pilih Perdana Menteri mengikut perlembagaan, bukannya ‘by convention’

Dalam UMNO istilah berkorban memang istilah biasa kita dengar. Semua orang bercakap tentang pengorbanan termasuk Najib Tun Razak yang meminta semua orang berkorban untuk negara dan bangsa dan cara pengorbanannya ialah dengan memberikan sokongan kepada beliau dan UMNO. Bagi beliau definasi pengorbanan ialah memberikan sokongan terus kepada beliau dan UMNO dalam apa pun keadaannya.

Sesungguhnya Najib bukanlah orang yang cocok untuk bercakap tentang pengorbanan dalam perjuangan. Berkorban ialah satu tindakan yang dilakukan untuk kebaikan perjuangan sehinggakan tindakan itu boleh mengurangkan kedudukan dan kekayaan seseorang itu. Tunku A Rahman Putra telah menjual segala harta beliau untuk UMNO dan negara. Onn Jaafar telah diceritakan oleh keluarga beliau semasa beliau meninggal dunia beliau tidak mempunyai harta dan wang ringgit semata-mata kerana perjuangan.

Pengorbanan Tun Razak pula berbeza. Beliau tidak mengambil kesempatan di atas kedudukan beliau untuk membuat harta benda kerana berkorban bagi kesejahteraan negara. Beliau dari keluarga yang baik dan adalah Orang Kaya Indera Shah Bandar Pahang. Ramai lagi pemimpin di zaman dahulu berkorban untuk perjuangan parti dan negara. Tengku Razaleigh di katakan telah mendermakan tanah beliau yang begitu tinggi nilainya untuk meletakkan bangunan UMNO yang berdiri megah di kotaraya Kuala Lumpur itu.

Saya menyebut perkara ini, kerana istilah pengorbanan ini merupakan satu istilah yang sangat besar dan tinggi nilainya dan bukan mudah untuk mendapatkannya dari sesiapa jika dilihat dari sudut perjuangan negara. Apabila kita mendengar pemimpin hari ini bercakap tentang pengorbanan ramai yang tidak dapat menerimanya, malahan ia menjadi bahan jenaka bagi sesiapa yang mendengarnya.

Tidak usah kita bertanya kepada ramai orang. Kita hanya bertanya kepada Najib sahaja yang sekarang terlalu acap beretorik tentang pengorbanan itu? Seingat kita Najib mula berkecimpung dalam politik apabila beliau mengambil tempat ayahanda beliau yang meninggalkan kita pada Januari 1976 dahulu secara percuma. Semuanya di adakan untuk beliau secara percuma. Malahan semua jawatan dan peningkatan beliau sehingga hari ini beliau dapati secara percuma.

Najib tidak pernah diuji dalam sepanjang hayat politik beliau kerana beliau anak Perdana Menteri. Kita tidak tahu samada Najib faham atau tidak apa dia yang dikatakan pengorbanan itu. Sekarang kita bertanya siapa yang berkorban dan siapa yang dikorbankan? Apa pengorbanan Najib kepada parti selama ini selain dari parti yang tidak putus-putus berkorban untuk beliau.

Dalam keadaan UMNO menjadi persoalan rakyat bolehkah Najib melakukan satu pengorbanan besar terhadap parti dan negara? Tidak kah boleh Najib melakukan hanya satu pengorbanan terhadap negara dalam keadaan negara dan politik nya sedang menghadapi krisis keyakinan yang amat menggila pada hari ini?

Rakyat sedang menghadapi krisis keyakinan terhadap kewibawaan pimpinan negara yang diketuai Najib dengan isu-isu rasuah dan salah guna kuasa yang tidak ada hadnya lagi pada hari ini. Malahan krisis keyakinan ini bukan sahaja kepada Najib tetapi pada keseluruhan kabinet dan kerajaan negara.

Rakyat telah berkorban sampai ke peringkat optimanya dengan bersabar selama ini dengan mengharapkan supaya kepimpinan menghentikan melakukan dosa dan noda terhadap rakyat. Sebenarnya apa yang diseru oleh Najib tentang pengorbanan itu telah di arah kepada sasaran yang salah. Najib telah menyeru mereka yang telah terlalu banyak berkorban hati dan jiwa di atas segala kelakuan dan sifat sumbang kepimpinan sekarang terhadap mereka (rakyat).

Apa sebenarnya cara pengorbanan yang rakyat perlukan dari Najib dan barisan kepimpinan negara dan kerajaan keseluruhannya? Rakyat pada asalnya mahukan kerajaan pimpinan Najib. Yang diperlukan jadilah kerajaan yang jujur dan tidak rasuah dan mengambil kesempatan di atas kerelaan rakyat memberikan sokongan selama ini. Jagalah khazanah rakyat dengan baik dan tidak di selewengkan. Misalnya jika harga kontrak LRT Ampang harganya RM1.1 billion pastikan harganya tetap ditahap yang sama dan bukannya dinaikan harganya menjadi RM1.8 billion.

Ini tidak. Oleh kerana rasuah ini sudah menjadi ketagihan kepada pimpinan kita ia tidak dapat lagi di hentikan. Setiap projek besar dan kecil ada sahaja tambahan kos untuk kepentingan kewangan orang yang berkuasa. Sampai bila keadaan ini harus berlarutan sedangkan mandat yang di berikan rakyat selama ini adalah untuk mereka menjaga khazanah negara bukannya untuk mereka melakukan rompakan di siang hari.

Najib begitu bersungguh-sungguh meminta rakyat berbelanja secara wasatiyah tetapi beliau sendiri berbelanja wang rakyat seperti wang itu boleh di petik dari pokok sahaja. Berbelanja untuk lawatan ke England yang hanya memakan masa empat lima hari melibatkan kos sebanyak RM1.6 juta. Di manakah wasatiyah yang di sebut-sebut dengan fasih oleh Najib itu.

Isu ini menjadi sebutan ramai sejak bertahun tahun dahulu dan sekarang rakyat ramai yang sudah mengambil pendirian yang ‘conclusive’ yang UMNO dan pimpinan tidak boleh lagi di berikan mandat. Budaya buruk ini sudah tidak dapat di perbaiki lagi dan ia tidak akan baik sampai bila-bila. Bersara seorang di gantikan dengan seorang yang lain tetapi yang menggantinya akan bersikap dan bersifat yang sama juga. Mereka yang pergi dan datang itu datangnya dari acuan yang sama.

Berhenti Najib dan di gantikan dengan Muhyiddin pun tidak akan merubah keadaan kerana Muhyiddin pun datang dari acuan yang serupa. Acuan yang di bentuk oleh Dr Mahathir dahulu sangat ‘effective’. Acuan itu telah membentuk barisan yang gunanya untuk menipu dan memerah harta benda rakyat sampai kekeringan.

Sampai bila rakyat hendak berkorban perasaan ini tidak dapat kita ketahui, tetapi tanda-tanda sudah nampak jelas yang rakyat sudah mula tidak lagi mempercayai apa-apa yang dikatakan oleh pimpinan sekarang.

Kalau benar Najib serius tentang pengorbanan, hanya satu yang beliau patut lakukan: berpakat di kalangan pimpinan UMNO, panggil perhimpunan agong khas, kesemua barisan kepimpinan itu berhenti dan berikan ahli yang ramai-ramai memilih seorang pemimpin yang tidak berada di dalam acuan yang dibentuk oleh Dr Mahathir itu. Jika hendak dilakukan, adakan sebelum pilihanraya ini.

Itu sahaja caranya untuk UMNO mendapat kepercayaan rakyat ramai. Kurang dari itu, jangan terkejut jika Najib merupakan Perdana Menteri dari UMNO yang terakhir. Semuanya ini adalah kerana Najib hanya pandai bercakap tentang pengorbanan tetapi beliau sendiri tidak mahu berkorban walaupun sedikit untuk negara.

Najib mesti memahami satu hakikat yang beliau menjadi Perdana Menteri bukan kerana sokongan rakyat ramai. Beliau menjadi PM kerana konvensyennya Presiden UMNO itu adalah Perdana Menteri. Presiden UMNO pula dipilih oleh empat ribu perwakilan UMNO sahaja. Di mana ‘legitimacy’ pemilihan seorang PM oleh rakyat?

Saya kira kali ini elok kita pilih Perdana Menteri mengikut peruntukan perlembagaan: iaitu seorang ahli Legislatif Melayu yang mendapat kepercayaan Dewan Parlimen itulah yang akan menjadi Perdana Menteri.

SUMBER : Aspan Alias