Umat Islam diperintahkan Allah sentiasa terdorong dan gemar berbuat baik serta mengasihi semua orang tanpa mengira keturunan, agama, darjat, kebudayaan dan warna kulit. Lebih-lebih lagi terhadap golongan susah, hidup menderita atau tidak bernasib baik. Islam menghendaki semua manusia hidup bersatu padu, penuh keakraban dan dalam suasana aman harmoni. Dengan perkataan lain, Islam sangat membenci kacau bilau, perpecahan, perbalahan dan pertumpahan darah sesama manusia.

Namun, ada segelintir masyarakat hanya berbuat baik dan menghubungkan tali silaturahim dengan orang tertentu seperti keluarga, orang kaya dan berpangkat. Sikap buruk ini harus dibuang kerana bukan saja mencerminkan sikap mementingkan nafsu, malah mencemarkan ajaran Islam yang suci. Perbuatan ini tentu dilakukan atas dasar material, (ada udang di sebalik batu) dan tidak ikhlas.

Islam menyeru umat mengambil berat, memberi perhatian, berbuat baik, menyayangi dan prihatin terhadap golongan tidak bernasib baik yang memerlukan pembelaan untuk menjalani kehidupan lebih bermakna. Firman Allah bermaksud: “Berbuat baiklah kepada ibu bapa, kaum kerabat, anak yatim dan orang miskin serta berbicara dengan kata yang baik.” (Surah al-Baqarah, ayat 83)

Anak yatim yang hilang tempat bergantung harus dijaga, dibimbing serta diberi kasih sayang supaya mereka rasa disayangi dan diiktiraf sebagai anggota masyarakat. Orang yang memelihara anak yatim sangat mulia di sisi Allah.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Aku dan orang yang menanggung (memelihara) anak yatim (dengan baik) ada di syurga bagaikan ini! Baginda memberi isyarat dengan jari telunjuk dan jari tengah dan Baginda rentangkan kedua jarinya itu.” (Hadis riwayat Bukhari) Bagi orang yang menganiaya, tidak berlaku adil dan tidak menyayangi anak yatim, di akhirat mendapat azab tidak terperi perihnya.

Ini tergambar dalam ayat suci yang bermaksud: “Dan berikan kepada anak yatim (yang sudah baligh) harta mereka, jangan kamu menukar yang baik dengan yang buruk dan jangan kamu makan harta mereka bersama hartamu. Sesungguhnya tindakan itu dosa yang besar.” (Surah an-Nisa, ayat 2)

Dalam perkara ini, Abu Said Al Khudri ada menceritakan, ketika Rasulullah SAW menjalani Israk Mikraj, Baginda melihat kaum yang bibirnya seperti bibir unta. Mulut mereka disuap batu besar secara paksa sehingga keluar batu itu melalui dubur. Melihat kejadian aneh itu, Baginda bertanya Jibril dan Jibril menerangkan, orang itu adalah orang yang memakan harta anak yatim secara zalim.( ini peringatan khas buat @NajibRazak dan Pak Lah)

Orang miskin pula ialah orang yang tiada harta atau tidak mampu menyara hidup serta keluarga. Berbuat baik, bergaul dan menyayangi fakir atau miskin adalah perbuatan nabi seperti maksud hadis: “Menyintai orang fakir termasuk pekerti nabi dan benci terhadap orang fakir termasuk pekerti fir’aun.”

Mereka yang berkelakuan baik terhadap golongan ini terhindar daripada sifat sombong dan mementingkan diri serta dipandang mulia oleh Allah seperti sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Berlaku rendah hati, duduklah bersama orang miskin, nescaya kalian menjadi pembesar Allah dan keluar daripada sifat sombong.” Islam tidak menghendaki umat membeza golongan berada dengan fakir miskin.

Rasulullah SAW sangat murka terhadap sikap sedemikian. Sabda Baginda yang bermaksud: “Seburuk-buruk makanan adalah makanan pesta (jamuan) yang mengundang orang kaya saja dan ditinggalkan orang fakir.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Tujuan Allah menyuruh kita berbuat baik kepada orang yang tidak bernasib baik supaya silaturahim terjalin erat dan tidak ada lagi jurang pemisah antara orang susah dengan masyarakat, dapat hidup dengan baik, tidak rasa terhina dengan kesusahan yang terpaksa ditanggungnya. Kedua-dua golongan itu (anak yatim dan fakir miskin) wajib disayangi sepenuh hati kerana Allah. Apabila tidak mempeduli nasib mereka, Allah menganggap orang itu sebagai ‘pendusta agama’.

Hidup Kita Hanya Menghitung Hari Untuk Mati

Allah memberi peringatan yang bermaksud: “Tahukah kamu orang yang mendustakan agama? Itulah orang yang mengherdik anak yatim dan tidak menganjurkan memberi makan orang miskin.” (Surah al-Maa’un, ayat 1-3) 

Dengan perhatian serta pembelaan terhadap orang susah, masyarakat dapat hidup bersatu padu, tidak ada sifat dengki mendengki dan beban kesusahan dapat diatasi dengan baik. Hidup kita akan terhormat, disegani dalam pergaulan, menambah teman dan mendapat rezeki daripada Allah. Inilah suasana hidup masyarakat yang diberkati dan diredai Allah.