artikel asal Shahbudin dot com

Ketika ini semua pihak sibuk membuat ramalan, andaian serta kajian tentang siapakah antara BN dan PR yang dijangka akan memenangi pilihanraya umum akan datang ini dan seterusnya berjaya menubuhkan kerajaan.

Pusat-pusat kajian, universiti dan kalangan pensyarah pula turut tampil dengan pelbagai teori dan pandangan mengenai siapa yang dijangka kalah dan siapa yang dijangka menang.

Merdeka Center dalam kajian terbarunya menunjukkan populariti DS Najib hanya meningkat 1 peratus kepada 65 peratus selepas pembentangan Belanjawan 2012.

Namun demikian, tahap populariti 65 peratus itu masih dianggap belum memadai untuk menjelmakan kemenangan yang selesa buat BN.

Jika pun menang, BN hanya dijangka menang dengan tipis saja tetapi jika berlaku sesuatu perubahan yang mendadak, benteng populariti Najib yang sekadar 65 peratus itu dianggap belum cukup ampuh untuk menahan kekalahan daripada berlaku.

Jika dilihat populariti Pak Lah sebelum pilihanraya 2008 adalah 72 peratus tetapi ianya telah menyebabkan BN hilang majoriti dua pertiga dengan sekadar kemenangan 140 kerusi saja ketika itu.

Beberapa pensyarah universiti juga turut membuat ramalan. Antaranya Prof Dr Samsul Amri Baharudin yang menjangkakan BN hanya mampu menang 120 kerusi, Dr Agus Yusof dengan kajian bahawa kerusi yang selesa bagi BN hanya 96 kerusi manakala Prof Mohamad Abu Bakar dari UM juga meramalkan kemenangan yang tipis saja mampu dicapai oleh BN dalam pilihanraya akan datang ini berdasarkan pelbagai isu dan kekuatan BN serta PR yang dilihat agak seimbang.

Pimpinan UMNO pula terutamanya Najib dilihat masih lagi bergelut untuk meraih kemenangan serta amat mengimpikan kemenangan dengan majoriti dua pertiga untuk mengelak menerima nasib seperti Pak Lah.

Bagaimanapun sehingga ini tidak ada mana-mana pemimpin UMNO yang berani meramalkan berapakah jumlah kerusi yang bakal dimenangi, terutamanya melihatkan pelbagai isu-isu baru yang muncul kebelakangan ini seperti isu Deepak, Musa Hassan, dana RM40 juta untuk UMNO Sabah dan sebagainya.

Rata-rata pemimpin UMNO dan BN merasakan hanya kemenangan yang tipis mampu dicapai kali ini.

Anwar dan PR pula, walaupun amat yakin dapat menawan Putrajaya dalam pilihanraya kali ini tetapi masih tidak berani memberikan angka kemenangan yang tepat. PR kini terlihat memberi fokos kepada tiga negeri iaitu Sabah, Sarawak dan Johor untuk mengukuhkan lagi kemenangan, selain keyakinan mempertahankan kubu sedia ada terutama 82 kerusi yang dimenangi dalam pilihanraya 2008 lalu.

Hanya Lim Kit Siang baru-baru ini yang meramalkan kemampuan PR untuk memenangi sebanyak 125 kerusi dengan PAS dan DAP dijangkanya akan memenangi masing-masing 40 kerusi manakala PKR diramalkan akan memenangi 45 kerusi.

Rakyat pelbagai lapisan dan peringkat juga merasakan demikian. Jika ada yang beranggapan BN akan menang, mereka menduga hanya kemenangan dengan kelebihan beberapa kerusi sahaja mampu dicapai.

Begitu juga jika ada yang beranggapan PR akan menawan Putrajaya, jangkaan mereka hanya kemenangan tipis juga yang mampu dicapainya.

Pendek kata, mereka yang rasional dan melihat pelbagai masalah serta isu yang sedang berlaku sekarang ini dan kesannya kepada pola pemikiran rakyat yang terdedah kepada pelbagai maklumat, hampir mustahil untuk meyakini kemenangan cemerlang mampu dicapai oleh mana-mana pihak kali ini.

Tetapi berbeza dengan dapatan yang dilakukan oleh War Room UMNO yang diketuai oleh Alies Nor, bekas Setiausaha Politik DS Najib sendiri. War Room UMNO ini ditubuhkan oleh DS Najib untuk kerja-kerja pilihanraya umum akan datang dengan fokus kepada pemilihan calon, menangani isu, menyelaras kempen dan sebagainya.

Dengan fungsinya yang begitu besar, War Room ini menjadi begitu berpengaruh menjelang pilihanraya akan datang dan Alies Nor pula merupakan individu yang paling dicari untuk didekati oleh mereka yang berhajat untuk menjadi calon.

Alies Nor bukan sahaja berpengaruh untuk menentukan calon-calon yang dianggap boleh menang tetapi juga sedang memantau kerusi-kerusi Parlimen yang diyakini memihak kepada BN.

Beliau kini mempunyai pasukan pemantaunya sendiri sama ada di peringkat bahagian dan negeri yang berfungsi menyediakan laporan terkini tentang kedudukan kerusi-kerusi yang boleh dimenangi oleh BN.

Bagaimanapun apa yang memeranjatkan, sebalik semua pihak meramalkan BN hanya mampu menang tipis, War Room ini mempunyai dapatan yang sebaliknya. Dikhabarkan bahawa pihak War Room ini telah mempersembahkan angka yang membuatkan DS Najib teruja baru-baru ini.

Dikatakan melalui gerak kerja dan pemilihan calon yang ditapis dengan ketat oleh War Room ini, selain populariti DS Najib yang dikhabarkan sentiasa mendapat sambutan daripada rakyat, Najib diyakinkan bahawa jumlah kerusi yang mampu dimenanginya ialah antara 148 hingga 154 kerusi.

148 adalah jumlah kerusi minimum yang diperlukan untuk memperolehi kemenangan dengan majoriti dua pertiga.

Namun demikian, hasil kajian War Room UMNO ini ditolak mentah-mentah oleh beberapa pemimpin UMNO sendiri yang merasakan ianya adalah hasil dapatan yang tidak masuk akal dan lebih bertujuan untuk mengampu DS Najib semata-mata. Mereka menyifatkan angka 148 hingga 154 itu tidak lebih dendangan lagu merdu yang boleh membuatkan DS Najib terbuai, terlena dan akhirnya jatuh ke tanah.

Tetapi sehingga ini tidak ada yang berani menyanggah angka tersebut secara berdepan dengan DS Najib kerana sedar kedudukan War Room dan Alies Nor yang begitu rapat dan seolah-olah begitu dipercayai oleh DS Najib sendiri. Menyanggah hasil kerja War Room umpama menyanggah Najib, oleh itu ramai yang bercakap dan membuat ulasan di belakang mengenainya.

Beberapa pemimpin dan pihak dalam UMNO yang rasional dan mengetahui mengenai hasil kajian oleh War Room itu mengakui angka kemenangan yang tidak masuk akal itu boleh membahayakan kedudukan UMNO dan BN jika Najib terlalu mempercayainya dan tidak mempunyai pendapat kedua.

Apa yang nyata DS Najib kini didapati begitu terbuai dengan angka yang diberi oleh War Room itu sehingga beliau didapati tidak dapat membaca isyarat sebenar yang ingin disampaikan oleh rakyat apabila mereka bertemu dengannya.

Misalnya apabila ramai yang bertanya kepadanya bilakah tarikh pilihanraya, DS Najib mengandaikan ianya sebagai bukti bahawa rakyat tidak sabar-sabar untuk memberi mandat yang lebih besar kepada BN sedangkan hakikat sebenarnya ia juga bermaksud rakyat tidak sabar lagi menunggu detik untuk menghukum UMNO dan BN atas pelbagai masalah dan isu yang berlaku sejak beliau menjadi PM.

Selain itu DS Najib juga sering disajikan dengan sokongan palsu daripada rakyat di setiap program yang dihadirinya di mana majoriti yang hadir adalah pegawai kerajaan, guru dan murid sekolah yang diwajibkan hadir, penuntut IPTA dan IPTS yang disediakan bas, t shirt dan belanja makan serta belia dan penduduk kampung yang turut disediakan kemudahan pengangkutan dan elaun wang saku.

Oleh kerana terlalu terbuai dan terlena dengan nyanyian lagu merdu oleh War Room dan Alies Nor yang menjanjikan kemenangan cemerlang kepadanya, DS Najib dilihat semakin tidak sensitif kepada segala isu dan kecaman yang berkaitan diri dan keluarganya. Beliau langsung tidak mahu menjawab semua isu yang timbul kebelakangan ini.

Lalu dimanakah sebenarnya jiwa rakyat yang sering diucapkannya, sudah kusamkah falsafah kami sentiasa mendengar yang kerap dilaungkannya dan sudah dibakulsampahkah slogan bahawa era kerajaan dan pemimpin betul segala-galanya sudah berakhir?