Kalaulah aku ditakdir terbangun suatu hari dengan kuasa untuk membentuk lanskap politik Malaysia…. 

Aku berpandangan bahawa semua ahli politik dan parti politik yang ada sekarang adalah penyangak dan tidak sekali-kali boleh dipercayai. Hanya rakyat yang cerdik dan beramanah. Atas dasar ini maka adalah perlu untuk mengembalikan kuasa sebenarnya kepada rakyat. Dan kuasa rakyat yang sebenarnya adalah di parlimen. Oleh kerana parlimen tidak mampu menampung kesemua 26 juta rakyat Malaysia, maka wakil-wakil rakyat dipilih melalui sistem undian pilihan raya. Perlu dipastikan bahawa tiada mana-mana parti atau gabungan parti menguasai dua pertiga wakil parlimen supaya tiada yang bongkak dan angkuh meluluskan sebarang dasar berat sebelah atas kepentingan politik kepartian tanpa kawalselia dan kuasa mengimbangi dari pihak lawan.

Semua dasar adalah atas kepentingan kebajikan rakyat. Persaingan politik yang hampir sama kuat untuk khidmat terbaik kepada rakyat adalah premis politik kesejahteraan Negara. Bukannya persaingan politik kuasa yang berat sebelah atas dasar kepentingan peribadi dan parti untuk menyalahgunakan kuasa tanpa ada perhitungan di kemudian hari. Dan inilah yang terjadi pabila ahli politik memiliki kuasa eksekutif dengan tumpuan kuasa yang keterlaluan. Oleh itu semua daulah-daulah demokrasi perlu diletakkan di bawah kuasa parlimen, bukannya ketua eksekutif Perdana Menteri. Daulah-daulah ini perlu sebenar-benarnya bebas dan tidak berat sebelah, bertindak atas premis keadilan dan kepentingan rakyat, dan tidak dibawah telunjuk eksekutif. Antara institusi atau daulah demokrasi yang semua ketuanya perlu dilantik oleh parlimen adalah PDRM, SPRM, Peguam Negara dan lain-lain daulah demokrasi yang strategik dalam memainkan peranan memeriksa, mengekang dan megimbangi kuasa eksekutif dan juga kuasa legislatif dan kuasa kehakiman.

Tiga tonggak kuasa Negara ini perlu dipisahkan secara jelas tanpa ada yang di bawah pengaruh yang lain. Jika Perdana Menteri sebagai ketua eksekutif dipilih dan dilantik oleh parlimen maka begitu juga lah Ketua Hakim Negara, Ketua Kehakiman, dan Ketua (Speaker) Dewan Negara sebagai ketua legislatif. Ahli Dewan Negara semestinyalah dipilih oleh rakyat, bukan dilantik oleh badan eksekutif atau parti politik, dan terdiri daripada tokoh-tokoh masyarakat, bekas-bekas pemimpin penting, pakar perundangan dan lain-lain tokoh. 

Amatlah memualkan sekiranya Ahli Dewan Negara atau Senator dilantik dari ahli politik picisan terbuang sebagai habuan kepandaian berpolitik maki hamun. Daulah-daulah demokrasi seperti PDRM, SPRM, Peguam Negara antaranya, yang ketua-ketua mereka dipilih atau dilantik oleh parlimen hanya bertanggungjawap kepada parlimen dalam perlaksanaan mandat mereka. Dan parlimen itu adalah kata lain bagi rakyat. Apabila ini semua terjadi maka tiadalah perlu rakyat risau parti politik mana yang menang berkuasa kerana peluang mereka untuk menyangak adalah lebih kecil dan susah. Ya, mereka akan tetap mencuba merompakmencuri dengan teknik rasuah terkini tapi risiko perhitungan nasib kalau tertangkap adalah besar. Kerana kuasa mengawal, mengekang dan mengimbangi tonggak-tonggak kuasa, terutamanya kuasa eksekutif orang politik, adalah bebas dan berkecuali. Tidaklah boleh terlepas lagi jerung-jerung politik untuk tidak beramanah.

Kerajaan Malaysia berdasarkan saiz kabinet menteri adalah bersaix XXL berbanding dengan jumlah penduduk. Kita memerlukan kerajaan yang jauh lebih kecil untuk mengurangkan kos perbelanjaan Negara, campurtangan kerajaan dalam setiap rongga kehidupan rakyat jelata, dan muak-loya berpolitik orang-orang politik. Dengan anggapan bahawa rakyat Malaysia rata-ratanya adalah cerdik pandai maka kerajaan yang kecil dengan hanya mandat yang terhad merangkumi penggubalan dan perlaksanaan dasar maslahah umum di ruang awam amatlah memadai. 

Tiada lagi tangan halimunan mencorakkan ekonomi dan perniagaan. Tiada lagi tangan ghaib campurtangan di ruang peribadi. Tiada lagi bermacam-macam undang-undang dan syarat-syarat kecil yang menyusahkan dan memeritkan. Kerajaan yang kecil bermakna rangkakerja yang lebih mengikut keutamaan makanya kuranglah kerenah birokrasi, kuranglah kuasa kerajaan dalam isu remehtemeh dan yang dibuat-buat untuk kepentingan penguasa. Contohnya, beratus jenis lesen, permit dan kelulusan untuk mencari makan sesuap nasi di Negara bertuah ini. Biarlah segenap lesen dan permit itu hanyalah untuk kepentingan statistik dan kawalselia umum semata-mata, bukannya menentukan layak atau tidak, perlu atau tidak, boleh atau tidak, kerana kerajaan tidak lebih tahu dari rakyat. 
Biarlah kuasa permintaan dan pembekalan menentukan jika ianya perniagaan. Mungkin banyak pengecualian dalam soal ini berdasarkan kepentingan awam seperti kelulusan lokasi, jenis perniagaan yang mengganggu moral awam, bercanggah dengan polisi atau dasar utama Negara dan sebagainya. Tetapi pastikanlah keadilan sosial dan kebajikan rakyat tercapai jika pun ada keperluan campurtangan kerajaan dan bukannya untuk memastikan kepentingan politik penguasa dan kroni-kroni mereka tidak tergugat.

Isu besar di dalam pengecilan kerajaan ialah kedudukan 1.2 juta penjawat awam. Tiada mana-mana parti politik akan sanggup memberhentikan sejumlah besar penjawat awam ini untuk mempunyai kerajaan yang kecil. Perinciannya pastilah kompleks, kontroversi dan bermasalah, di luar kemampuan aku untuk mengolahnya. Tetapi umumnya di dalam rangkakerja kerajaan kecil ini, mana-mana jabatan yang kurang strategik dan keutamaannya boleh diperbadankan dan diswastakan dengan adil dan terbuka. Selain dari pilihan untuk bersara awal atau pemberhentian kerja secara sukarela dengan imbuhan tertentu. Skim latihan dan modal pinjaman dan bantuan boleh diadakan untuk pilihan-pilihan kerja alternatif. Jangka sederhana dan panjangnya pasti boleh dilaksanakan sekiranya ada kekuatan dayapolitik. Pokoknya tiada penjawat awam yang tersia kecuali yang benar sia-sia. Ntahlah.

Sebarang perubahan lanskap politik yang mencabar keutuhan politik kuasa akan dimomok dan dipropagandakan sebagai seolah-olah mencabar kuasa Melayu. Alangkah tersasar fikiran ini namun ramai yang akan terpedaya. Perubahan yang diperlukan adalah untuk mengekang kuasa eksekutif yang terbukti rasuah dan tidak amanahnya kepada kuasa rakyat melalui daulah-daulah demokrasi kerajaan yang dilantik parlimen, media arus perdana kepunyaan rakyat yang tidak berpihak, badan-badan bebas NGO dan lain-lain. 

Kebimbangan soal hak keistimewaan yang termaktub di Perlembagaan akan dihapuskan sekiranya rakyat memilih mana-mana parti alternatif adalah tidak berasas. Dasar ekonomi yang berasaskan keperluan sebagai alternatif kepada yang berasaskan bangsa, peluang ekonomi dan peluang pembelajaran berasaskan meritokrasi, pembukaan sektor ekonomi yang lebih luas dan lain-lain dasar, sama ada yang sedang dilaksanakan pemerintah sekarang atau cadangan dari pihak berlawanan perlu dikaji dan dibincangkan buruk baiknya tanpa lentingan latahan bodoh melihat semua alternatif adalah musuh dan hantu.

Emosi melangkaui akal. Itu sifat masyarakat atau bangsa yang pendek akalnya, kesat jiwanya dan kesumat hatinya. Ingatlah, ahli-ahli politiklah pemecah belah masyarakat yang paling besar, tidak kira dipihak mana. Janganlah terpedaya dengan mereka.

Ingatlah bahawa dasar dan objektif utama mana-mana ekonomi adalah untuk membasmi kemiskinan, meningkatkan taraf keselesaan hidup, merapatkan jurang yang miskin dengan yang kaya, dan memberi peluang ekonomi yang adil kepada semua rakyat. Tiada kelompok rakyat yang tersisih atau tertinggal, apatah lagi bangsa pribumi majoriti, sebagai jaminan keamanan dan kestabilan Negara. 

Apakah ada parti politik di Malaysia yang tidak tahu, tidak peduli dan menganggap tidak penting kemestian ini? Mana-mana dasar ekonomi tidak akan menyisih bangsa pribumi yang majoriti; hanya perlaksanaan polisi oleh kerajaan yang sama selama separuh abad yang lepas ini boleh dipersoalkan. Apakah berani rakyat mencuba perlaksanaan polisi oleh pemerintah lain, yang pastinya tidak akan menyisihkan rakyat majoriti kalau pun berbeza falsafah pendekatan ekonominya?

Satu lagi isu adalah politik Islam parti tertentu. Perlu difikirkan apakah penubuhan negara islam itu adalah objektif akhir atau hanyalah jalan atau alat untuk mencapai objektif akhir seperti keadilan sosial dan ekonomi yang akan membawa kepada keamanan, kebebasan dan keselesaan hidup beribadat untuk dunia dan akhirat. Mahukan Negara Islam yang tersurat di perlembagaan sebagai objektif perjuangan politik di atas nama Islam bukanlah akhirannya. Pengisian yang tersirat itulah akhiran politik Islam. 

Dengan premis tersebut ingatlah sekularnya Malaysia bukan mengikut maksud asal sekularisma mulaan dari revolusi Peranchis yang menolak kekuasan gereja sekaligus menolak ugama. Sekularisma Malaysia tidak menolak Islam, hanya membatasi ugama di ruang umum, kecuali nilai yang boleh dikongsi semua, di atas dasar maslahah umum masyarakat berbilang kaum. Pemikiran politik Islam luas dan penuh dengan khilaf ruangan kelabu. 
Maka janganlah cepat kafir mengkafirkan. Berhati-hatilah dengan dakwah politik Islam, biar lebih hemah dan bijaksananya. Ingatlah objektif dan tujuan sebenar politik Islam tersirat yang melangkaui label tersurat dan kuasa. Janganlah sampai dipermainkan dan diketawakan oleh isu gunting rambut dan khalwat. Malu Islam yang syumul!

BONSAI

*BONSAI adalah seorang pemikir politik yang kerap menyumbang artikel dimedia berbagai platform dengan nama pena yang berbagai.Kerap juga menyumbang artikel di blog ini walaupun agak lama menyepikan diri.