SUMBER : KLpost

Pembangunan pesat meningkatkan lagi penambahan jumlah kenderaan di sesebuah kawasan lebih-lebih lagi untuk sebuah pembangunan perumahan strata atau perumahan bertingkat yang melebihi dua puluh tingkat akan meningkatkan lagi permasalahan ini.

Kapasiti parkir kereta selalunya disediakan oleh pihak pemaju bergantung kepada status pembangunan serta keperluan penghuni sesebuah pembangunan. Jumlah yang diperuntukkan adalah bergantung kepada jenis rumah, dan permintaan daripada individu itu sendiri.

Pembangunan Datum Jelatek di Lembah Keramat memperuntukkan empat blok berketinggian sehingga 39 tingkat menempatkan 674 unit kediaman pelbagai saiz, termasuk empat tingkat podium tapak penjualan, unit pejabat kelas A, dewan, skybar, dan restoran makanan mewah.

Lot-lot parkir diletakkan di tingkat bawah tanah setinggi tiga tingkat. Setiap unit rumah diberikan antara satu hingga empat lot parkir bergantung kepada saiz dan harga sesebuah rumah yang bermula dari RM 699 888 hingga RM 11 593 888.

Sebagai contoh, unit rumah jenis studio berkeluasan 538 kaki persegi dengan harga RM 699 888 diperuntukkan 1 lot parkir begitu juga bagi unit rumah jenis 1 bilik tidur atau 1+bilik belajar berkeluasan 743 hingga 1 168 kaki persegi setiap satu.

Bagi unit rumah dua dan tiga bilik tidur pula akan memperoleh dua atau tiga lot parkir kereta dengan harga rumah bermula dari RM 1 656 888 hinga 4 688 888

Menurut perangkaan, sekiranya setiap lot parkir ini di isi penuh, sejumlah lebih dari 3 000 unit kereta akan menghuni setiap lot parkir. Tidak termasuk bagi sesebuah keluarga yang memiliki kenderaan melebihi dari jumlah tersebut dan melepasi kuota yang dibenarkan oleh pihak pemaju.

Perangkaan ini mungkin tidak terlalu besar memandangkan bangunan ini mungkin mampu untuk menampung jumlah kenderaan dengan menyediakan lot parkir tambahan sebagai back-up plan.

Tetapi ianya cukup besar bagi penduduk Lembah Keramat yang padat dan seringkali menghadapi kesukaran dalam menempuhi kesesakan lalu lintas lebih-lebih lagi pada waktu puncak.

Melihat kepada struktur jalan di kawasan sekitar tapak projek tersebut, Jalan Enggang yang menyediakan jalan dua hala, satu lorong bagi setiap hala digunakan penduduk Lembah Keramat setiap hari di tambah dengan penempatan penduduk sekitar yang turut menggunakan jalan tersebut sebagai laluan utama untuk ke Pusat Bandar.

Jalan dua lorong sehala yang menghubungkan terus ke Lebuhraya Bertingkat Ampang – Kuala Lumpur (AKLEH) sentiasa sibuk dengan kenderaan pada kebanyakan masa.

Menurut pelan pembangunan asal Datum Jelatek, bagi melancarkan aliran trafik di sekitar pembangunan tersebut, jalan raya di sekitarnya akan dibangunkan dengan memperuntukkan empat lorong bagi laluan sehala beramaksud lapan lorong di kedua-dua bahagian jalan akan dibina.

Tapak projek berkeuasan 5.5 hektar itu jelas tidak mampu untuk menampung keluasan jalan raya sebesar yang dijangka, tambahan pula kawasan penduduk yang mampat menyukarkan lagi pembinaan lebuhraya tersebut.

Penduduk setempat bimbang sekiranya Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menggunakan tapak kediaman mereka sebagai lokasi tambahan untuk mendirikan lebuhraya bagi menampung aliran trafik yang bakal bertambah sekiranya projek itu diteruskan.

Dakwa penduduk, kawasan yang pasti akan dirobohkan bagi tujuan itu adalah Jalan Enggang, bangunan berdekatan Bengkel MARA serta lot-lot bunglow disekitarnya. Kawasan yang majoritinya adalah kaum melayu bumiputra membantah sekeras-kerasnya sekiranya rumah mereka di robohkan untuk memberi laluan kepada pembinaan lebuh raya.

Namun, sekiranya pihak PKNS tetap juga ingin meneruskan pojek tersebut, maka penduduk terpaksa akur dengan perintah pihak berkuasa yang tampak lebih mementingkan pelaburan daripada kebajikan dan tanggungjawab kepada masyarakat.