Ada orang bertanya kepada saya, mana lebih baik RM 10 juta untuk 10 orang blogger atau RM 100,000 untuk 100 orang facebookers? Jawapan saya, jika 5 tahun dulu mungkin RM 10 juta untuk 10 orang blogger, tetapi selepas PRU13, mungkin lebih baik RM100,000 untuk 100 orang facebookers tanpa menafikan blogger juga masih ada peranan dalam pertempuran siber hari ini.

Kenapa?

Zaman sudah berubah. 2008 adalah era kegemilangan blog dan portal media, tetapi 2013, medan tempur sudah beralih kepada media sosial.

Sebab itu bila BN memberi terlalu banyak perhatian kepada blogger dan portal berita, akhirnya kesemua blogger dan portal media ini rupanya gagal menyaingi kelicikan dan penipuan 3,000 orang tentera berbayar Red Bean Army, baik blog dan portal bahasa Melayu, mahupun portal dan blog bahasa Inggeris, apa lagi jika blog tersebut hanya menyumbang kurang daripada 5 artikel sepanjang tempoh kempen PRU13.

Ia bukan kegagalan satu kumpulan, tetapi kegagalan sistemik dinosour-dinosour yang merasakan bahawa kita masih bertempur dalam tahun 2008. Jangan tuduh satu-satu kumpulan sahaja yang gagal. Muhasabah dan nilai sendiri perhatian yang telah pemimpin dan bekas pemimpin BN berikan kepada kita semua walaupun ada di antara kita yang menolak daripada dilabelkan sebagai ahli UMNO dan BN.

Itu adalah mukaddimah tentang satu lagi artikel yang akan ditulis dalam masa terdekat. Ini pula adalah siri ketiga artikel tentang Unit Media Baru (UMB) Pergerakan Pemuda UMNO bagi membetulkan kekeliruan pihak yang mempunyai salah tanggapan tentang UMB akibat serangan pihak yang diarah menyerang UMB.

Apakah falsafah UMB?

Menyokong UMB bermaksud menyokong penggiat media siber pelbagai platform, terutama yang tidak diberikan perhatian oleh kepimpinan parti.

Bermula sebagai kumpulan kecil blogger, facebooker, penggerak multimedia kreatif yang sudi bergerak di bawah platform Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia di bawah kepimpinan YB Khairy Jamaluddin Abu Bakar, jumlah penggerak UMB bertambah dari satu tahun ke tahun kepada satu organisasi yang disertai oleh oleh 49 blogger dan aktivis media sosial sepenuh masa dan 175 orang blogger dan aktivis media sosial yang membantu secara sambilan di seluruh negara. Di bawah BNYCT, UMB turut dibantu oleh hampir 1,000 orang sukarelawan siber.

UMB mempunyai pasukan siber di Pulau Pinang, Kedah, Wilayah Persekutuan, Selangor, Perak, Kelantan, Terengganu dan Putrajaya. UMB lebih banyak memberi tumpuan kepada negeri-negeri yang dikuasai pembangkang walaupun di negeri tertentu, penggerak UMB tidak mendapat sokongan yang baik daripada pemimpin dan agensi negeri tersebut.

UMB mengendalikan organisasi multi-platform yang terdiri daripada pengendali blog, portal, facebook, twitter, saluran you tube, radio internet, live streaming, multimedia kreatif dan penggerak operasi khas.

Anggota UMB berpengalaman mengendalikan operasi Pilihan raya Kecil Manek Urai, Pilihan Raya Negeri Sarawak dan Pilihan Raya Umum ke-13 di peringkat pusat, negeri Pulau Pinang, negeri Kedah, Wilayah Persekutuan, P125 Putrajaya dan P146 Muar

Anggota UMB juga berpengalaman mengendalikan operasi khas seperti Bersih 2.0, Bersih 3.0, 901, KL112, Sambutan Ambang Merdeka PR, Himpunan Lynas, Himpunan Hijau, Perhimpunan Agung UMNO, program-program, konvensyen dan muktamar parti pembangkang.

Selain itu anggota UMB berpengalaman mengendalikan dan membantu kempen seperti Persidangan Meja Bulat PTPTN, Tweet Merdeka, 1M4U, Himpunan Sejuta Belia dan Himpunan Jutaan Belia, Peluasan Penggunaan Twitter.

Anggota UMB turut berpengalaman membantu hebahan dan gerak kerja mahasiswa dan Pilihan Raya Kampus.

Blogger dan aktivis media sosial UMB juga mempunyai berpengalaman mengendalikan latihan latihan siber.

UMB berusaha melahirkan seramai mungkin aktivis siber kerana berpendirian perang siber tidak boleh dimenangi hanya oleh 10-15 orang blogger elit dan terpilih semata-mata. Lebih ramai yang tahu, lebih bagus walaupun tahu, jika lebih ramai pejuang siber dilahirkan, akan ada lebih banyak persaingan.

Selain latihan, UMB turut menjalankan program-program pendampingan seperti Tweet-Up, Teh Tarik dan Coffee Corner.

UMB juga mempunyai pengalaman membantu latihan dan operasi jentera komponen BN Sarawak semasa PRN Sarawak dan jentera Pergerakan Pemuda parti komponen semasa PRU13.

UMB berterima kasih dan menghargai perhatian pemimpin tertinggi yang menjadikan UMB sebagai salah kumpulan dari sejumlah kumpulan yang membantu operasi war-room siber BN dalam PRU13.

Jelasnya, berdasarkan perjalanan perjuangan UMB, UMB bukan tentang hanya 10 ke 15 orang blogger, sebaliknya kumpulan yang tidak lokek berkongsi ilmu dan peranan dengan seramai mungkin aktivis media siber asalkan mereka sanggup bekerja di bawah KPI dan peraturan yang ditetapkan oleh UMB. Walaupun begitu. saya akui, ada kalanya, sebagai blogger atau cybertrooper, adakalanya mereka terlupa dan terlanggar peraturan sedia ada.

Mereka ini merupakan pasukan penggerak di negeri-negeri yang pernah bernaung di bawah UMB sepanjang tempoh PRU13.

Terima kasih atas khidmat yang telah diberikan untuk UMB, ada yang sejak 2009 lagi. Terima kasih juga kerana sanggup bersusah payah bersama UMB walaupun tahu anda tidak mungkin dapat memandu kereta mewah ataupun bertukar kereta baru dengan compensation yang diberikan oleh UMB.