Ada banyak rahsia disebalik setiap kejadian. Kehancuran peradaban hebat di Asia Barat oleh tangan makhluk ganas dari Utara Dunia amat menyentuh perasaan. Manusia primitif berjaya mengubah sejarah.

Di sebalik penderitaan dan kehancuran pemerintah Islam, ada peristiwa luar jangkaan muncul. Kerajaan Islam telah hancur berkecai meninggalkan kesan yang sungguh menyayat hati kaum Muslimin. Walaupun begitu, rahmat Allah tetap mengatasi segalanya. Kemusnahan ini mempunyai hikmah yang tidak terjangkau oleh akal manusia.

Setiap peristiwa yang terjadi semestinya ada penyebabnya. Jika dilihat dari pandangan mata kasar, kejatuhan empayar Abbasiah pada 1258M pastinya akan memperlihatkan kejatuhan Islam secara total. Segalanya musnah jadi debu, bukan sahaja khalifahnya, malah seluruh cendekiawan, ulama dan hasil penulisan mereka ikut musnah. Segala peradaban yang gilang gemilang, bangunan-bangunan hebat yang dikagumi seluruh bangsa dunia hilang lenyap. Dibakar dan diruntuhkan. Jika dinilai dari situasi ini, Islam tentu sahaja akan ranap dan hilang dari permukaan bumi.

Sebaliknya, manusia ganas dan buas ini secara tiba-tiba pula telah bertukar wajah menjadi penakluk baru bagi kaum Muslimin pula. Mereka membawa Islam menyeberangi sempadan hingga ke India, China dan juga pendalaman negara mereka Monggolia.

Walau apa pun keadaannya, Allah telah menghukum kaum bangsawan dan pemerintah Banghdad yang semakin lalai terhadap perintah agama dan lebih mencintai dunia. Berlumba mencari pengaruh dan saling besengketa. Meninggalkan sunnah dan memilih untuk bermusuhan sesama sendiri. Berpecah belah sehingga ada yang sanggup melakukan khianat.

Manusia ganas ini (Monggol) seolah-olah dihantar dari neraka untuk menghancur lumat peradaban yang amat dibanggakan ketika itu.

Hiburan dan kemewahan melampau

Kegilaan kepada pangkat, kuasa, harta dan pengaruh menjadikan segala urusan hanya berkiblat kepada dunia. Ada maklumat menyatakan ulama dari berlainan mazhab juga saling berlumba dan memusuhi sesama sendiri. Ada di antaranya melibatkan pertumpahan darah sesama umat Islam akibat petelagahan antara pengikut. Pada waktu itu bilangan mazhab yang wujud tersangat kecil berbanding dengan apa yang wujud pada hari ini.

Kelalaian terhadap agama dan tertarik kepada dunia menjadikan bangsa Arab telah terjajah oleh nafsu. Keseronokan melebihi batas serta mabuk syahwat. Memilih untuk hidup mewah berbanding kesederhanaan yang dianjurkan oleh agama. Tak semena-mena datang satu kaum ganas dan gasar ini dan sekelip mata semuanya hilang bagai dipuput bayu. Bumi Baghdad sama seperti bandar-bandar besar yang lain telah diratakan oleh serangan Monggol, bertukar rupa menjadi padang jarak. Yang tinggal hanyalah epik Arabian Night – kisah 1001 malam yang terkenal itu.

Kisah seribu satu malam

Mampukah manusia hari ini mengambil iktibar dari peristiwa ini? Rasanya tidak. Apabila hati sudah terpaut pada cara hidup mewah dan memanjakan nafsu, segalanya akan dicampak ke tepi. Ini adalah realiti kehidupan makhluk yang dicipta dari air yang jijik ini. Senonim dengan sifat ‘bergopoh gapah’ dan melebihi batas, ramai diantara kita kurang berminat untuk berfikir sebelum melakukan sesuatu. Hanya sedikit yang menyedari hakikat bahawa ini semua adalah ujian sementara hidup di muka bumi. Hanya sedikit yang bersedia mengorbankan hawa nafsu. Hanya sedikit yang meletakkan agama melebihi kuasa, harta dan pangkat.

Manusia inilah yang akan selamat. Selain daripada golongan ini, semuanya akan ditawan oleh dunia. Manusia yang sedikit inilah yang berjaya melepaskan diri dari menjadi pecacai Yakjuj dan Makjuj. Selain dari itu, semuanya secara tidak langsung bertukar watak menjadi sebahagian dari Yakjuj dan Majuj ini. Seperti kata pengkaji fenomena akhir zaman, Sheikh Imran Hosein dalam salah satu ceramahnya. Jika kita memuja Yakjuj dan Makjuj dan hidup selesa sebagaimana mereka anjurkan maka kita akan ditarik masuk menyertai kumpulan Yakjuj dan Makjuj, kita makan apa yang mereka makan, kita pakai apa yang mereka pakai.

Kita akan hidup seperti mereka dalam setiap aspek kehidupan. Kita tertarik dan begitu ingin menjadi seperti mereka. Kita bangga menggunakan bahasa mereka, kita kagumi kejayaan mereka, kita selesa perpakaian sepertimana mereka. Kita meniru gaya hidup mereka. Akhirnya kita percaya terhadap falsafah dan setiap kata mereka. Dalam tidak sedar kita telah mengangkat mereka sebagai idola dan contoh kehidupan untuk diikuti.

Daripada Abu Sa’id Al-Khudri ra. berkata, Bahawasanya Rasulullah saw. bersabda, “Kamu akan mengikuti jejak langkah umat-umat sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga jikalau mereka masuk ke lubang biawak pun kamu akan mengikuti mereka.” Sahabat bertanya, “Ya Rasulullah! Apakah Yahudi dan Nasrani yang kau maksudkan?” Nabi saw. menjawab, “Siapa lagi kalau bukan mereka”. (Riwayat Muslim)

Seperti yang beliau (Syeikh Imran) sebutkan, jika dibayangkan 99.9 peratus manusia adalah Yakjuj dan Makjuj, berapa ramaikah lagi yang tinggal untuk menjadi pengikut Imam Mahadi? Jelasnya, memang hanya sedikit sahaja. Bilangan pengikut Imam Mahadi tersangatlah sedikit iaitu manusia beriman (0.1 peratus). Ratio (kadar) yang boleh diperkirakan ialah, hanya seorang yang beriman di kalangan 1000 orang manusia.

“Sesungguhnya Allah berfirman pada han kiamat: Hai Adam, bangunlah, siapkanlah sembilan ratus sembilan puluh sembilan keturunanmu untuk ditempatkan ke dalam neraka, dan satu di antara mereka itu akan ditempatkan ke dalam syurga.” (Ketika Rasulullah SAW menerirna firman Allah ini kemudian menyampaikannya kepada para sahabat), Rasulullah SAW menangis terisak-isak, demikian pula para sahabat lainnya, lalu beliau bersabda: “Angkatlah kepala kamu semua. Demi Tuhan yang menguasai jiwaku. (jika dibandingkan) dengan umat-umat Nabi yang lain, maka umatku bagaikan sehelai bulu putih (yang terdapat) pada kulit lembu jantan yang berbulu hitam”.(HR. Tabrani).

Adakah anda juga ikut menangis mendengar berita tersebut? Begitulah malangnya manusia akhir zaman ini. Jelas terbukti hanya sedikit sahaja yang akan selamat dari neraka Allah. Mahukah kita terus menerus mengikut cara hidup Yakjuj dan Makjuj dan akhirnya menjadi sebahagian dari mereka? Kita terdiri dari makhluk di akhir zaman ini, selain dari terpaksa menghadapi Dajjal, kita juga akan dimusnahkan oleh Yakjuj dan Majkjuj. Ini hanyalah sebuah peringatan untuk kita semua insafi, bukan bermaksud untuk memaksa anda.

Contoh, jika seluruh penduduk dunia berjumlah 10 billion orang, 10 juta orang sahaja yang menjadi pengikut Imam Mahadi nanti. Mampukah 10 juta orang beriman ini menentang 10 billion orang Yakjuj dan Makjuj selain dari Dajjal itu sendiri? Selain dari itu, kita sendiri belum pasti adakah kita termasuk di kalangan mereka “yang sedikit” itu. Tetapi harus di ingat bahawa golongan ini akan menghadapi sesuatu musibah yang sungguh dahsyat.

Daripada Anas r.a. bekata, Rasulullah saw. bersabda, “Akan datang kepada umat ku suatu zaman di mana orang yang berpegang kepada agamanya laksana menggenggam bara api”. (Riwayat Tirmizi)
Bersedialah menyertai kumpulan ini dan teruslah berdoa agar, kita termasuk di kalangan “golongan yang sedikit” tersebut kerana Yakjuj dan Makjud bakal menghuni neraka, Nauzubillah.

Daripada ‘Auf bin Malik r.a. berkata: Rasulullah saw. bersabda; “Umat Yahudi telah berpecah-belah menjadi tujuh puluh satu golongan, maka hanya satu golongan sahaja yang masuk syurga dan yang tujuh puluh lagi akan masuk neraka. Umat Nasrani telah berpecah-belah menjadi tujuh puIuh dua golongan, maka tujuh puluh satu golongan masuk neraka dan hanya satu golongan sahaja yang masuk syurga. Demi Tuhan yang diri ku di dalam kekuasaannya, umatku akan berpecah belah menjadi tujuh puluh tiga golongan, hanya satu golongan sahaja yang masuk syurga dan tujuh puluh dua lagi akan masuk neraka. Sahabat bertanya, mana yang selamat”? Nabi saw. menjawab, “Mereka adalah jamaah”.

(Ada yang mebuat tafsiran “jemaah” itu bermaksud Golongan Ahlus Sunnah Wal Jamaah, namun ia tentu sekali bermaksud mereka yang berkasih sayang antara sesama Muslim – kefahaman saya).
Bagi pengkaji peristiwa akhir zaman, bukanlah mudah untuk menilai dan mengagak peristiwa yang bakal terjadi, namun atas keinsafan dan ketakwaan yang kuat pastinya mendapat petunjuk. Lihatlah dengan hati yang suci bersih dan insaflah dengan sebenar-benarnya. Perkara utama yang wajib ada di antara kita ialah sifat “kasih sayang” dan menjauhi tindakan “memutuskan tali persaudaraan” sesama Islam walau dalam keadaan apa sekali pun.

Meninjau kembali sejarah Tanah Di Hujung Dunia iaitu Tanah Melayu tercinta ini, entah kenapa, bumi Melayu tidak dimusnahkan oleh pelbagai bencana alam sebagaimana negara lain, malah tidak juga menjadi mangsa serangan kaum Monggol yang ganas tersebut di era penaklukan mereka. Allah sengaja menghalang kemusnahan sebagaimana Tanah Arab. Mungkin sengaja ditangguhkan seketika untuk kemudian hari? Ataupun sememangnya bukan ditakdirkan menjadi mangsa sehina bangsa Arab pada zaman itu.

Masihkah kamu enggan bersyukur atas nikmat Allah ini? Janganlah jadi manusia yang kufur nikmat. Siksa Allah amatlah pedih.

Berbalik kepada situasi semasa, tidak mustahil kita juga akan terdedah kepada fenomena luar jangka. Menjadi mangsa kepada serangan penjajah dalam bentuk baru (??). Tidak mustahil pula kita bakal menjadi makanan kaum “Monggol” selepas ini – yang telah bertukar bentuk (??). Sila fikirkan.

Sebelum ini saya pernah membangkitkan sebuah pandangan bahawa Yakjuj dan Makjuj itu adalah makhluk berketrampilan dan bergaya dari benua Eropah dalam sebuah artikal di blog ini. Namun setelah mengkaji semula berdasarkan beberapa nas berkaitan makhluk ini, saya merasakan ada sesuatu yang ganjil atau kelompangan. Seperti ada kecacatan sedikit kerana apa yang digambarkan oleh nas-nas tersebut, makhluk ini sangat ganas melebihi binatang. Rasulullah saw sendiri menggambarkan ketakutan yang amat sangat selelah mendapat petunjuk mengenainya. Siapa sebenarnya mereka?

“Telah mulai terbuka hari ini dari dinding YAKJUJ DAN MAKJUJ sebesar (lubang) ini.” Rasulullah membuat lingkaran dengan dua jarinya, ibu jari dan jari telunjuk. (HR. Al-Bukhari dari Zainab bintu Jahsyin radhiyallahu ‘anha).

Saya terus membuat kajian dan menemui beberapa penulisan yang menarik untuk dianalisa secara mendalam. Antaranya ialah sebuah tulisan ilmiah “Hancurnya Sebuah Peradaban” karya Thoriq Ahmad (disiarkan di bawah). Selain dari itu, banyak lagi artikel seumpamanya sempat saya baca. Ini membuatkan saya lebih berani membuat kesimpulan bahawa Yakjuj dan Makjuj adalah makhluk jahat yang berduyun-duyun turun menghancurkan peradaban dunia. Kejahatan mereka dalam bentuk pelbagai.

Kejahatan mereka tertakluk kepada keadaan. Kebanyakannya memang diluar tahap pemikiran manusia. Lebih sesuai disebut di luar jangkaan. Kali ini (kemungkinan yang terakhir) bukan sahaja peradaban dunia yang akan mereka rosakkan tetapi juga peradaban kemanusiaan. Tauhid akan cuba dimusnahkan dari jiwa manusia. Mereka juga akan membawa keraguan kewujudan “TUHAN” malah mengangkat nafsu manusia itu sendiri sebagai tuhan. Sudah nampak apa yang ada di sekeliling kita? Tandanya, ia telah pun bermula.

Dunia belum kiamat, tentunya Yakjuj dan Makjuj akan datang lagi buat kesekian kalinya. Mereka tidak turun hanya sekali seperti mana yang selalu kita dengar. Air tasik diminum oleh mereka (golongan sebelumnya) dan setelah kering nanti, datang pula kumpulan berikutnya dan mengatakan “dulu tasik ini dipenuhi air”. Tasik Galilee atau Tasik Tiberias menjadi indikator penting masa kedatangan Dajjal, Makjuj dan Makjuj (kumpulan terakhir) dan juga Nabi Isa as. Sekarang Yahudi Palsu (Kazaria) sedang mengeringkan tasik tersebut dengan rakusnya. Mereka juga adalah berasal kaum Yakjuj dan Makjuj ini. Saka baka Monggol juga. Mereka berpecah kepada dua puak, satu ke Barat dan satu lagi ke Timur.

Yahudi Kazar (Yakjuj Makjuj gelombang kedua) ini bakal diserang pula oleh Yakjuj Makjuj kumpulan terakhir di bumi Palestin? Siapa pula Yakjuj dan Makjuj akhir zaman ini? Teruskan berfikir.

Sementara itu cuba kita lihat ada sesuatu keganjilan yang disebut di dalam nas, dua nama yang bercantum. Pertama Yakjuj dan kedua ialah Makjuj. Adakah ia tidak membawa apa-apa makna terselindung? Semua itu tetap menjadi misteri, bagaimana keadaan sebenarnya akan terus mengasak pemikiran kita semua.

Berduyun itu maksudnya jumlah yang amat banyak. Meluru turun bermaksud pantas menuruni dari kawasan atas ke kawasan bawah secara berlumba-lumba. Apa pula indikasi yang boleh kita kaitkan Monggol dan Barat dengan Yakjuj dan Makjuj? Jika puak Khazar Zionis melalui gerakan penjajahan Barat, kita mungkin dapat menerimanya dengan mudah kerana kini mereka sudah pun bermukim di Bumi Palestin.

“…Dan mustahil kepada penduduk sesebuah negeri yang Kami binasakan, bahawa mereka tidak akan kembali hingga apabila terbuka tembok yang menyekat Yakjuj dan Makjuj, serta mereka meluru turun dari tiap-tiap tempat yang tinggi…”; al-Anbiyaa’:95-96

“Penduduk” dimaksudkan ialah orang Yahudi,“Negeri” adalah Baitul-Maqdis, “Yakjuj dan Makjuj” adalah Yahudi (Khazars), dan“Meluru turun dari tiap-tiap tempat yang tinggi” bermaksud Yakjuj dan Makjuj menguasai dan menjajah keseluruhan aspek kuasa-kuasa pemerintahan dunia.Dipetik dari artikel Imran Hosein.
Adakah Yakjuj dan Makjuj kumpulan terakhir ini juga ada kaitan dengan Yahudi Khazar? Mereka asalnya dari satu induk walau berlainan nama. Masa terkini, mereka sedang mengalami proses terakhir untuk kembali kepada sifat asal mereka. Mereka bakal menjadi manusia penakluk yang baru. Keadaan menjadi semakin komplek bila seluruh manusia mengikut cara mereka serta bernaung di bawah kekuasaan mereka. Pembongkaran mengenai siapa mereka mungkin terpaksa dilakukan pada masa yang lain.

Apa yang boleh kita faham, Yakjuj dan Makjuj adalah dua perkataan bergandingan. Ia bermakna dua puak. Puak pertama Yakjuj dan puak kedua ialah Makjuj. Sebab itu di sebut “Yakjuj wa Makjuj”. Perkataan wa dalam Bahasa Arab itu bermaksud “dan”. Dalam perkhabaran ia diucapkan sekaligus iaitu gabungan keduanya. Terpecah tetapi satu. Adakah mereka bergabung antara keduanya atau dua jenis manusia berlainan kumpulan tetapi mempunyai kebuasan yang sama? Jawapannya tentu sekali ‘tidak’.

Bangsa Tartar atau Monggol ini adalah orang gasar. Tindakan mereka juga kasar dan ganas. Serangan brutal membumi hanguskan semua negara yang diserangnya. Sementara pihak Barat membawa pendekatan berbentuk muslihat dan tipu daya. Mereka juga tidak pernah berganding bahu merosakkan muka bumi. Jadi bagaimana kita hendak ulas mengenai bangsa Yakjud dan satu lagi bangsa Makjuj? Atau Gog and Magog.

Ada satu fakta yang menarik. Sila baca di sini dan di sini. Kita akan lihat ada sesuatu maklumat di sana yang membolehkan kita mula berfikir untuk mengenali dua puak yang sejiwa ini.

Yang paling menarik ialah: “Tapi Allah telah menjadikan tembok itu kembali ke bentuk asalnya menyebabkan mereka terpaksa menggalinya sedari mula.Proses ini berterusan hari demi hari selama mana Allah menghendaki mereka ini terkepung. Bila Allah menghendaki mereka ini keluar, di hujung hari mereka menggali itu mereka berkata “Insya Allah, esok kita akan dapat membolosinya”.

Pada esoknya, mereka akan mendapati tembok itu berkeadaan sebagaimana mereka telah tinggalkan sebelum itu, dan setelah memecahkan bakinya itulah mereka akan keluar (Ahmad, Tirmidhi, Ibn Majah). Kaum Yakjuj dan Makjuj ini adalah anak Adam juga, iaitu dari keturunan Yafits bin Nuh a.s. Mereka ini dikatakan berjumlah begitu ramai, iaitu ‘9 kali’ lebih ramai berbanding bilangan manusia di atas muka bumi.”

Kita dapat lihat ada maklumat yang boleh mambantu kita faham kenapa Monggol itu satu dari kaum Yakjuj Makjuj. Buat waktu ini tak dapat lagi dipastikan sama ada Monggol itu Yakjuj dan Barat itu Makjuj. Tetapi sebilangan pengkaji Barat menyatakan bangsa mereka berasal dari kaum “GOG”. Lupakan dahulu mengenainya. Apa yang saya nak bangkitkan ialah mengenai ” “InsyaAllah, esok kita akan dapat membolosinya”. Apakah maksudnya?

Maksud tersembunyi ini ialah perkataan “Insya Allah”. Adakah mereka sudah mengenali Allah sehingga mampu menyebut perkataan tersebut? Bukankah mereka kaum yang kasar, ganas dan primitif sehingga tidak dapat difahami perkataan mereka? Hanya orang yang percaya kepada kekuasaan Allah atau beriman dengannya sahaja yang akan mengucapkan perkataan ini. Ayat tersebut membayangkan ada sesuatu tanda di sebaliknya. Ia tidaklah disebut secara sia-sia.

Jika perkataan “Insya Allah” itu tidak disebut, tembok Zulqarnain tentu masih kekal di sana sehingga hari ini. Yakjuj atau Makjuj juga tidak akan keluar sehingga sekarang. Begitulah cantiknya bahasa alQuranul Karim dan juga perkhabaran dari Baginda Rasulullah saw.

Kita lihat dalam artikel di bawah ada disebutkan seorang dari cucu Jengis Khan:
“Pemimpin Mongol pertama yang memeluk Islam ialah Barkha Khan (1256-1266 ), cucu Jengis Khan dari puteranya Juchi Khan, penguasa Eropah Timur”

Barkha Khan telah memeluk Islam secara rasmi atas dakwah seorang ahli sufi. Ketika itu Bangsa Arab masih selamat dan belum lagi jatuh ke tangan tentera Monggol walaupun beberapa kawasan Islam bukan Arab (ajam) telah pun ditawan sebelum itu. Ini berarti dia sudah mengenali Islam dengan mendalam sebelum menerima Islam secara rasmi sebagai cara hidup beliau.

Adalah munasabah jika kita katakan ada diantara mereka (sebelum ketuanya) sudah pun mengenali Islam dan menganut agama Allah ini lebih awal sebelum kemusnahan halangan tersebut. “Tembok itu musnah” boleh ditakrifkan sebagai halangan untuk Yakjuj dan Makjuj keluar telah tamat. Bermula datangnya serangan Monggol dari dataran Asia Tengah walaupun bukan dari celahan dua gunung tersebut. Dalam satu hadis Baginda Rasulullah saw, Baginda menyebut “Celakalah bangsa Arab…” bermaksud kerajaan Arab ketika itu iaitu kerajaan Abbasiah di Baghdad.

Artikel saudara Thoriq amat menarik perhatian saya, saya siarkan di bawah ini untuk memberi peluang kepada para pembaca mengetahui bagaimana dahsyatnya hentaman kaum Monggol ini sesuai dengan sifat manusia ganas bernama Yakjuj dan Makjuj seperti mana yang digambarkan dalam beberapa hadis.

Berkaitan analisa tentang siapa Yakjuj dan Makjuj akhir zaman(belum keluar) akan saya cuba postkan kemudian, insyaAllah. Sebelum itu pembaca bolehlah memikirkan sendiri siapa mereka, apa kaitan dengan Yahudi Zionis, apa persamaan dengan misionari Barat dan THH dan apa pula persamaan sifat “kebuasan” yang ada pada mereka. Bagaimana keadaan yang dikatakan “Mereka begitu ramai bilangannya berbanding kaum Mukminin?”

Yang paling penting untuk kita fikirkan ialah apakah nasib kita nanti jika menghadapi serangan mereka? Atau, adakah… sememangnya kita hari ini sedang menghadapi mereka di luar kesedaran kita?

Tunggu sambungannya nanti…

Tidak masuk akal, luasnya kekuasaan bangsa 
primitif dari utara dunia ini

Runtuhnya Sebuah Peradaban – Serangan Monggol
Oleh: Thoriq Ahmad

Ratusan ribu mayat tanpa kepala berselerakan memenuhi jalan-jalan, longkang – longkang dan padang – padang. Disekitarnya bangunan-bangunan megah dan indah bertukar menjadi penempatan kosong tak berpenghuni. Asap berkepul keluar dari bangunan-bangunan yang dibakar. Tentera dari serendah – rendah pangkat hingga ke yang paling tinggi sibuk memenggal kepala ribuan manusia dan kemudian mengkelaskan kepala yang terpisah dari tubuhnya itu menurut kelompok: kepala wanita, anak-anak, orang tua, dipisahkan satu dari yang lain. Sungai Dajlah atau Tigris berubah menjadi hitam disebabkan dakwat ribuan manuskrip yang dilempar ke dalamnya. Perpustakaan, hospital, masjid, madrasah, tempat mandi awam dan rumah para bangsawan, kedai dan restoran – semuanya dihancurkan.

Demikianlah, kota yang selama beberapa abad menjadi pusat terbesar peradaban Islam itupun musnah dalam sekelip mata. Setelah puas, pasukan penakluk itupun bersiap-siap pergi tanpa penyesalan sedikitpun. Mereka kini hanya sibuk mengumpulkan barang-barang rampasan yang berharga: timbunan perhiasan yang tak ternilai harganya, berkilo-kilo tongkol emas dan wang dinar, batu permata, intan berlian – semua dimasukkan ke dalam ratusan karung dan kemudian diangkut dalam gerabak dan kereta yang sangat panjang. Penyair Sa’idi (1184 – 1291) pernah menyaksikan peristiwa serupa sebelumnya, datuk di kota Shiraz. Dia berhasil menyelamatkan diri dan merakamkan peristiwa yang dia saksikan dalam sajaknya:

Maka langit pun mencurahkan


Hujan lebat darah ke atas bumi


Dan kebinasaan menyapu bersih


Kerajaan al-Mu’tasim, khalifah orang mukmin


Ya Muhammad ! Apabila hari pengadilan datang


Angkutlah kepala tuan dan lihat


Kesengsaraan umatmu ini !

Saksi lain menulis para pemuisi dan penyanyi dipanggil agar bernyanyi dengan riang gembira, sementara bangsawan-bangsawan kota diperintahkan merawat kuda-kuda mereka. Kitab salinan al-Qur’an yang tidak ternilai harganya dilempar dan diinjak-injak. Juwa1yni , seorang sejarawan abad ke-13, yang berhasil melarikan diri dari Bukhara ketika kota itu diserang beberapa tahun sebelumnya, melihat bagaimana kota kelahiran Imam Bukhari ahli hadis yang masyhur itu diratakan sama tinggi dengan tanah. Tulis Juwayni: “Mereka datang, merosak, menghancurkan, membunuh, memperkosa wanita muda dan tua, merampas harta, dan akhirnya pergi dengan tenang dan puas hati.”

Demikian gambaran sekilas kebengisan dan kekejaman yang dilakukan tentera Mongol di lebih separuh daratan Asia dan Eropah Timur sejak awal hingga pertengahan abad ke-13 M. Baghdad, Ibukota Abbasiyah, mendapat giliran agak akhir, pada bulan Februari 1258 M. Serbuan kali ini dirancang dari Transoxania di Asia Tengah dan dipimpin salah seorang cucu Jengis Khan yang tidak kurang bengis dari datuknya. Di antara catatan sejarah mengenai kebiadaban orang-orang Mongol ialah catatan sejarawan terkemuka Ibnu ‘Athir (w. 1231 M) dan ahli Geografi Yaqut al-Hamawi (w.1229 ). Menurut mereka, tokoh- tokoh muslim terkemuka, amir, panglima perang, tabib, ulama, budayawan, ilmuan, cendekiawan, ahli ekonomi dan politik, serta saudagar kaya – tewas dalam keadaan mengerikan. Kepala mereka dipenggal, dipisahkan dari badan, kerana khawatir ada yang masih hidup dan berpura-pura mati.

Timbul pertanyaan: jenis manusia dan bangsa apakah orang-orang Mongol pada abad ke-13 itu ? Mengapa mereka tiba-tiba muncul menjadi kekuatan yang menggemparkan dunia yang penuh peradaban dan dapat menaklukkan wilayah yang sangat luas. Dari hujung timur negeri Cina sampai ujung barat Polandia, dari batas utara Rusia hingga batas selatan teluk Parsi – semua ditundukkan dan dikuasai hanya dalam waktu kurang lebih 40 tahun ?

Siapa Monggol?

Kata bijak pandai, pemimpin adalah cermin kepada bangsanya. Untuk mengenal siapa bangsa Monggol, lebih mudah jika kita melihat kepada ketua bangsa itu sendiri. Tokoh utama bangsa Mongol pada abad ke-13 M adalah Jengis Khan serta anak cucunya yang juga perkasa seperti Ogotai, Batu, Hulagu dan Kublai Khan.

Jengis telah berhasil mempimpin bangsa Mongol menakluki daratan Asia yang menyebabkan keturunannya memerintah dan menguasai negeri-negeri yang ditaklukkinya itu selama berabad-abad. Dialah yang menempa nama bangsa Mongol menjadi bangsa yang hebat, berani dan nekad. Namanya ketika kecil adalah Temujin. Ayahnya Yasugei, adalah seorang Khan (raja) yang mengepalai 13 kelompok suku Borjigin, salah satu suku utama Mongol – Turk yang paling berapi dan gagah perkasa. Sebagai Khan kecil, Yasugei tunduk kepada Khan yang lebih tinggi, Utaq Khan. Ketika Temujin berusia 13 tahun terjadilah perebutan kekuasaan dalam suku Borjigin. Ayahnya mati terbunuh disebabkan panah beracun Dario, salah seorang lawan politiknya. Karena masih muda, Temujin tidak diakui sebagai penggantinya. Malahan keselamatan dirinya serta ibu dan adik-adiknya terancam. Keluarga Yasugei melarikan diri dan mendapat perlindungan daripada salah seorang saudaranya dari suku Nainan. Pada tahun 1182 Temujin menjadi remaja yang tangkas serta berani, dan berkahwin dengan salah seorang puteri keluarga terkemuka suku itu, iaitu Bortai. Bortai mendampingi Temujin hingga ke akhir hayat dan setia mengikuti suaminya ke kawasan – kawasan peperangan.

Bakat Temujin sebagai pemimpin mulai kelihatan seawal usia 20 tahun. Segala selok beluk belok ilmu perang dipelajarinya, dengan ketangkasan menunggang kuda dan mahir pula dalam penggunaan segala jenis senjata perang. Secara diam-diam dia mengumpulkan para pengikut ayahnya dan melatih mereka dengan disiplin yang keras. Pada waktu yang tepat diapun menyerang bekas lawan politik ayahnya dan berhasil merebut kembali kedudukannya sebagai Khan suku Borjigin. Tidak berapa lama setelah itu dia berhasil pula menyatukan suku-suku Mongol dan Turk yang terpencar di wilayah luas antara sungai Dzungaria dan Irtish. Pada tahun 1202 huraltai, majlis besar suku-suku Mongol, memberi pengakuan kepada Temujin sebagai khan seluruh orang Mongol dengan gelaran Jengis Khan. Artinya raja diraja dan dalam bahasa Arab disebut Sayyid al-Mutlaq.

Salah satu faktor keberhasilan Jengis Khan ialah kebengisan dan kekejamannya dalam memperlakukan lawan-lawan politik yang dikalahkannya. Apabila pihak lawan telah ditundukkan, para pemimpinnya lantas ditangkap dan kemudian direbus hidup-hidup dalam air panas yang sedang mendidih dalam belanga besar. Pengangkatannya sebagai khan besar seluruh orang Mongol semakin memperkuat keyakinan dirinya dan keyakinan bahwa pasukan tenteranya sangat kuat. Inilah yang mendorong Jengis mulai berpikir bagaimana menaklukkan negeri-negeri disekitarnya yang wilayahnya sangat luas dan makmur, seperti Cina, Khawarizmi di Asia tengah, Persia, India, India utara serta Eropah Timur.

Jengis mulai melatih pasukan tenteranya dengan lebih keras lagi, dia merekrut sebanyak-banyaknya orang Mongol dari berbagai suku dan menjadikan mereka kekuatan militan yang besar. Tenteranya dilatih dengan disiplin yang keras. Teknik-teknik dasyat dan kekejaman yang canggih juga diajarkan kepada mereka. Percubaan pertama untuk menguji keunggulan tenteranya ialah dengan menyerbu Cina Utara yang dikuasai bangsa Kin. Alasan penyerbuan cukup kuat:

Bangsa Kin sering menyerang Mongol (Tartar) karena menganggap mereka bangsa biadab. Dalam serangan itu sudah banyak pemimpin Mongol dibunuh dengan cara yang kejam. Lebih ratusan tahun orang Mongol menyimpan dendam terhadap bangsa Kin. Dalam serbuan yang dipimpin Temujin tentera Mongol dengan mudah sekali dapat menundukkan Cina Utara. Penduduk dan pemimpin mereka dibunuh, kecuali orang cerdik pandai, seniman, golongan yang pekerja, sasterawan, guru, ahli bahasa, agamawan, doktor, ahli sejarah, dan pakar strategi perang. Mereka sangat penting untuk melatih dan mendidik orang Mongol sehingga menjadi bangsa yang beradab.

Sebagai tokoh besar lain, Jengis Khan mempunyai idola yang ikut membentuk kepribadian dan arah cita-citanya. Idolanya ialah tokoh utama sebuah cerita rakyat Mongol yang popular bernama Kutula Khan. Menurut cerita tersebut Kutula Khan bertubuh besar. Suaranya bagaikan bunyi guruh dan petir yang menyambar puncak gunung. Tangannya yang kuat bagaikan beruang dengan mudah dapat mematahkan anak panah. Walau udara dingin pada musim gugur dia dapat tidur dengan nyenyak berhampiran api pendiang tanpa memakai baju. Percikan api yang melukai tubuhnya tidak dia pedulikan, seolah-oleh gigitan nyamuk saja. Dalam sehari ia makan seekor kambing dan satu kantung besar susu.

Kepada seorang jeneralnya Jengis bertanya pernah bertanya:” Apakah kebahagiaan terbesar dalam hidup ini, menurut pendapatmu?” Jeneralnya menjawab: “Beburu dimusim luruh dengan menunggang seekor kuda yang tangkas dan bagus! “Bukan!” jawab Jengis Khan. “Kebahagiaan terbesar ialah menaklukkan musuh, mengejar mereka sampai tertangkap, kemudian merampas harta milik mereka, menyaksikan kaum kerabat mereka meratap dan menjerit- jerit, menunggangi kuda-kuda mereka, memeluk isteri dan anak-anak gadis mereka serta memperkosa mereka.”

Ogatai, salah seorang putranya, mempraktikkan betul-betul apa yang dikatakan ayahnya. Apabila Ogatai dan tenteranya berhasil menduduki kota, dia akan memerintahkan ratusan gadis berbaris dan kemudian beberapa gadis paling cantik dipilihnya untuk dirinya. Yang agak cantik untuk jenderal-jenderalnya dan selebihnya untuk perajurit- perajurit yang lebih rendah pangkatnya.

Amir Khusraw, penyair Persia abad ke-13 yang melarikan diri dan tinggal di India, memberi gambaran seperti berikut tentang orang-orang Mongol itu: “Mereka menunggang unta dan kuda dengan tangkas, tubuh mereka bagaikan besi, wajah membara, tatapan muka garang, leher pendek, telinga lebar berbulu dan memakai anting-anting, kulit kasar penuh kutu dan baunya amat tidak busuk.” Penulis lain mengatakan bahwa mereka seperti keturunan anjing saja, wajah rajanya seperti binatang buas dan berkata bahawa tuhan mencipta mereka dari api neraka.” Sejarawan Ibn ‘Athir melaporkan ketika Bukhara diserbu, 30 ribu tentera kerajaan Khawarizmi tidak terlawan mengahadapi keganasan dan kebengisan mereka.

Juwayni sejarawan abad ke-13 yang lain, menulis dalam bukunya Tarikh-I-Jehan Gusan: “Jengis Khan naik ke atas mimbar masjid dan mengaku sebagai cemeti Tuhan yang diutus untuk menghukum orang-orang yang penuh dosa.”

Bermulanya Peperang dengan Negeri – Negeri Islam

Awal permusuhan dan peperangan dengan negeri – negeri Islam bermula dari peristiwa tahun 1212 M. Pada suatu hari tiga orang saudagar Bukhara bersama puluhan rombongannya tiba di wilayah Mongol dan menuju ibukota Karakorum. Entah mengapa, orang-orang Mongol menangkap mereka dan kemudian menyiksanya. Barangan dagangan mereka turut dirampas. Tidak lama setelah peristiwa itu Jengis Khan mengirim 50 orang saudagar Mongol untuk membeli barang dagangan di Bukhara. Atas perintah amir Bukhara Gayur Khan, mereka ditangkap dan dihukum mati. Jengis sangat marah dan merancang menyerbu kerajaan Khawarizmi dan negeri lain di Asia tengah. Penyerbuan itu baru terlaksana pada tahun 1219, hanya selisih tiga tahun setelah tentera Mongol menaklukkan seluruh wilayah Cina.

Pada tahun 1227 Jengis Khan meninggal dunia, sebelum seluruh wilayah Khawarizmi dan Asia tengah, termasuk Afghanistan dan India utara, berhasil ditakluknya. Dia digantikan puteranya Ogatai (1229 – 1241). Dibawah pimpinannya semakin banyak wilayah jajahan Mongol. Kekuasaan mereka mencapai Sungai Wolga dan Polandia. Sebagian besar orang Mongol telah memeluk agama Budha, namun beberapa bangsawan dan isteri mereka ada yang memeluk agama Kristian. Pengganti Ogotai ialah Kuyuk (1246 – 1249) dan Kuyuk digantikan oleh Mangu (1251-1264), putra sulung Tulul dan Tulul ialah adik bungsu Ogotai. Pada masa kepemimpinan Mangu inilah terjadi konflik dalam keluarga Jengis Khan.

Entah apa sebabnya pada suatu hari Mangu menuduh Ogul Ghaimi, bekas permaisuri Ogatai yang beragama Kristian, bermaksud menggulingkan kekuasaannya dan menghasut orang Mongol yang beragama Budha melakukan kekacauan. Ogul Ghaimi dihukum mati dan hampir semua keturunan Ogotai dibunuh. Keputusan tersebut disokong oleh Kubilai Khan, yang telah menjadi kaisar Cina, dan Hulagu. Cucu Ogotai, Kaidu yang menjadi panglima di Subutai, tidak berjaya melaksanakan niatnya membalas dendam. Dia kemudiannya dipaksa menyerahkan wilayah kemaharajaan Kara Kita (Xinjiang, Cina) kepada Mangu. Bermula dari situ kekuasaan Mangu menjadi bertambah luas. Sebenarnya serangan terhadap Baghdad tidak pernah difikirkan oleh Mangu, kerana di samping tentera Abbasiyah masih dianggap kuat dan berbahaya, beberapa ulama yang menjadi penasihat penguasa Mongol dapat meyakinkan bahawa serangan itu akan mengundang bahawa kepada Mongul. Menurut para ulama, Khalifah al-Mu’tasim ialah pemimpin kaum muslimin dan barang siapa yang menderhaka kepadanya pasti akan mendapat balasan setimpal dari Tuhan.

Serangan terhadap Baghdad terjadi setelah Mangu memerintahkan Hulagu memusnahkan istana benteng Alamut dan wilayah yang dikuasai orang-orang Assasin, iaitu cabang dari Isma’iliyah (Syi’ah Imam Tujuh). Orang-orang Assasin sangat berbahaya karena sering merompak dan membunuh para saudagar, termasuk saudagar Mongol. Ketika mendapat perintah saudaranya itu Jenderal Hulagu juga mendapat pesanan khusus dari isterinya Dokuz Khatun yang beragama Kristian. Dokuz Khatun mempunyai hubungan dengan pemimpin pasukan perang salib yang sedang berperang dengan tentara Islam yang sedang merebut Jerusalem pada waktu itu, dan berkonspirasi dengan misionaris Kristian untuk menghancurkan kaum Muslim. Dia meminta kepada suaminya agar setelah menghancurkan benteng Alamut, yang membenteng sepanjang pegunungan di timur laut Iran dan Afghanistan, dengan segera selepas itu menaklukkan Iran dan Iraq.

Demikianlah, sebelum penaklukkan dan pembasmian pengikut Assasin di Alamut, Hulaghu dan ribuan tentaranya berangkat dari Transoxiana disebelah utara Samarkand dan Bukhara. Mula-mula ia menyerbu Merw, Rayya dan Nisyapur, kemudian Hamadan dan dari situ berpusing menuju dataran tinggi Marenda serta menghancurkan Istana Benteng Alamut dan membinasakan ribuan pengikut Assasin. Setelah itu pasukan Hulagu menyerbu Azerbaijan dan Armenia, yang dengan mudah dapat ditaklukkannya. Gerakan selanjutnya ialah ke arah selatan memasuki wilayah al-Jazirah. Setelah beristirahat agak lama dan mengatur strategi perang; diantaranya mengirim pengintip, pada hari Minggu 4 Safar H (Februari 1258) pasukan Hulagu bergerak mendekati Baghdad. Walaupun perlawanan yang diberikan oleh tentara Abbasiyah cukup sengit, namun tidak begitu sukar bagi Hulagu untuk mengalahkan dan menghancurkan mereka.

Catatan yang cukup menarik tentang kekalahan tentera kaum Muslimin Baghdad itu terdapat dalam buku Tarikh al-Islam (hlm. 206-207) karangan sejarawan terkenal abad ke-13M Muhyiddin al-Khayyat:

“Sejak bertahun-tahun lamanya telah timbul pergeseran yang dasyat antara pengikut Sunni dan Syi’ah, juga antara pengikut mazhab Syafi’I dan Hanafi. Pertumpahan darah sering terjadi dalam setiap pertikaian yang timbul diantara golongan-golongan yang saling bertentangan itu. Pada saat itu khalifah yang berkuasa ialah al-Mu’tasim, sedangkan wazirnya Muayyad al-Din al-Qami, seorang tokoh Syi’ah terkemuka.

Amir Abu Bakar, putera khalifah, dan panglima Rukhnuddin al-Daudar sudah lama menaruh dendam kepada wazir al-Qami. Pada suatu hari Amir Abu Bakar memerintahkan tentera menghancurkan tempat tinggal puak Syi’ah. Peristiwa ini dirasakan oleh wazir sebagai pukulan yang hebat terhadap dirinya. Diam-diam dia berutusan dengan Hulagu dan mendorong panglima Mongol dari Transoxiana itu segera berangkat merebut ibukota Baghdad. Hulagu pun datang dengan ribuan tentaranya pada bulan Safar 656H dan mengepung Baghdad. Dengan persetujuan khalifah, panglima al-Daudar membawa pasukan tentara Baghdad untuk mengusir tentera Mongol. Tetapi malang tidak dapat dielakkan. Pasukannya kalah teruk dan dia sendiri terbunuh dengan kepala terpisah dari badan.

Sisa pasukannya menyelamatkan diri ke balik tembok ibukota yang kukuh dan sebahagian lagi melarikan diri ke Syiria. Setelah itu wazir al-Qami menemui Hulagu atas persetujuan Khalifah al-Mu’tasim. Rundingan dilakukan antara kedua – dua pihak. Wazir dan pengiringnya pulang ke dalam kota, dan setelah terjadi kekecohan diapun berkata kepada khalifah: “Hulagu Khan berjanji akan tetap menghormati Tuan sebagai khalifah, seperti mereka mengakui Sultan Konya. Bahkan ia hendak mengawinkan seorang puterinya dengan putera Tuanku, Amir Abu Bakar !”

Muhyiddin al-Khayyat selanjutnya melaporkan bahwa khalifah al-Mu’tasim disertai seluruh pembesar kerajaan dan hakim, serta keluarga mereka, berjumlah 3000 orang keluar dari istana menemui Hulagu. Pada mulanya mereka disambut dengan ramah, tetapi tidak lama kemudian mereka habis dibunuh. Wazir al-Qami dan keluarganya diperlakukan dengan cara lebih bengis. Sebelum dibunuh wazir al-Qami dihina Hulagu, “Kamu sepatutnya mendapat hukuman yang lebih berat kerana melakukan khianat kepada orang yang telah memberimu kedudukan istimewa.”

Selama 40 hari pasukan Hulagu membunuh, merampas, memperkosa wanita dan membakar apa saja dihadapan mereka. Rumah-rumah ibadah dihancurkan. Bayi yang berada dalam dukungan dibunuh bersama ibu mereka. Wanita hamil ditusuk perutnya. Mulai saat itu kedaulatan dan kekuasaan Mongol dinobatkan atau Bani Ilkhan berdiri kukuh di Persia (iran dan Iraq). Hulagu Khan dinobatkan sebagai khan dan memilih Tabriz sebagai ibukota kemaharajaannya. Hanya Mesir dan Syiria yang tidak dapat ditaklukkan kerana kuatnya pasukan kaum muslimin di situ.

Monggol Memeluk Islam

Dalam perjalanan sejarah suatu bangsa sering terjadi sesuatu yang pelik dan tidak pernah terbayangkan. Orang Mongol yang dahulunya merupakan musuh dan seteru sengit orang Islam, pada akhirnya tunduk kepada kepercayaan penduduk negeri-negeri yang mereka takluki. Tidak lama setelah jatuhnya kota Baghdad itu telah banyak bangsawan dan pemimpin Mongol secara diam-diam memeluk Islam.

Pada awal abad ke-14 , tidak sampai seratus tahun permusuhan Mongol dengan umat Islam, sebagian besar orang Mongol yang berada di negeri-negeri kaum muslimin telah mula masuk ke dalam agama Islam dan kebudayaan masyarakatnya. Namun demikian, semua itu berjalan dalam proses yang berliku- liku. Sebelum berbondong-bondong memeluk Islam mereka telah menjadi penganut Syamanisme dan Budhisme yang fanatik. Usaha misionaris Kristian untuk mengkristiankan mereka bahkan hampir berhasil lebih dari dua tiga kali. Beberapa pemimpin Mongol bahkan telah menjalin kerjasama dan konspirasi dengan saja-raja Eropah dan pemimpin perang pasukan Salib mereka di tanah suci Jerusalem. Di antara bentuk-bentuk konspirasi itu ialah bersama-sama membantai dan menghancurkan negeri Islam.

Di antara pemimpin Mongol pertama yang memeluk Islam ialah Barkha Khan (1256-1266 ), cucu Jengis Khan dari puteranya Juchi Khan, yang menguasai Eropah timur dan tengah dan berkedudukan di Sarai, lembah Wolga. Dia dan para pengikutnya memeluk Islam pada tahun 1260 berkat dakwah para ulama sufi yang berada di daerah tersebut. Pada tahun itu juga Barkha mengirim ribuan tenteranya untuk membantu sultan Baybars di Mesir yang sedang menghadapi serangan Hulagu Khan dan tentara Salib. Dalam pertempuran di Ain Jalut pasukan Hulagu dapat dihancurkan. Sejak itu agama Islam berkembang pesat di lembah Wolga dan orang-orang Mongol yang bermukim di wilayah itu menyebut diri sebagai orang Kozak (Kystchak).

Adapun keturunan Hulagu Khan sendiri menempuh jalan berliku sebelum memeluk Islam. Ulama-ulama Islam tidak hanya bersaing dengan misionaris Kristian, tetapi bersaing juga dengan sesama mereka, iaitu ulama mazhab Syafi’I dengan Hanafi dan ulama Syi’ah. Pada mulanya usaha misionaris Kristian hampir berhasil. Pengganti Hulagu Khan , iaitu Abagha (1265-1282) memeluk Kristian hasil pujukan ibunya Dokuz Khatun. Ramai pendeta Kristian tinggal didalam istananya, diantaranya sebagai penasihat politik. Pada tahun 1274, Abagha mengirim utusan khusus menghadiri Konsili Lyon. Dia sering berutus surat dengan Raja Louis (1266-1270) dari Prancis dan raja Charles I (1268-1285 ) dari Sicilia. Tadugar (1281-1284), putera Abagha yang menggantikan bapanya yang sejak kecil telah memeluk agama Kristian telah memeluk Islam apabila dewasa.

Dia menyebut dirinya sebagai Sultan Muhammad Tagudar Khan. Namun karena tindakannya memberi peluang terlalu besar bagi perkembangan Islam, dia diadukan oleh tokoh masyarakat Mongol kepada Kublai Khan di Khanbalik, Cina. Perebutan kekuasaan segera terjadi di bawah pimpinan Arghun, saudara kandung Tagudar. Dalam peristiwa itu Tagudar mati terbunuh. Setelah menaiki tahkta, Arghun (1284-1290 ) segera menyingkirkan pembesar-pembesar Islam dari kedudukan penting mereka. Mereka digantikan oleh pembesar beragama Budha dan Kristian. Pengganti Arghun, iaitu Baidu Khan (1293-1295) berbuat serupa. Namun pada masa pemerintahan Baidu inilah terjadi peristiwa paling bersejarah. Puteranya yang menggantikan dia, Ghazan Khan (1295-1302), walaupun sejak kecil dididik sebagai penganut Budhis yang fanatik, ketika menaiki tahkta menyatakan memeluk Islam.

Peristiwa tersebut merupakan kemenangan besar Islam. Ghazan lahir pada tanggal 4 Desember 1271 M. Usianya ketika naik tahkta belum genap berusia 24 tahun. Pada umur 10 tahun dia diangkat menjadi gabenor Khurasan. Pendamping dan penasihatnya ialah Amir Nawruz, putera Arghun Agha yang telah memerintah selama 39 tahun di Persia di bawah pengawasan langsung Jengis Khan dan penggantinya. Amir Nawruz merupakan pembesar Mongol awal yang memeluk agama Islam secara diam-diam. Atas usaha dialah, Ghazan Khan memeluk agama Islam.

Ajakan memeluk Islam itu berawal ketika Ghazan sedang berjuang merebut tahta kerajaan dari saingan utamanya, Baidu. Amir Nawruz berkata, “Tuanku! Berjanjilah, apabila kelak Allah menganugerahkan kemenangan kepada Tuan, sebagai ucapan syukur Anda mesti memeluk agama Islam!” Atas petunjuk dan nasihat Amir Nawruz itulah Ghazan Khan berhasil mengalahkan Baidu dan naik tahta pada tanggal 19 Juni 1295 (4 Sya’ban 644 H). Janjinya untuk memeluk Islam dipenuhi hari itu juga. Bersama 10,000 orang Mongol lain, termasuk sejumlah pembesar dan jeneral dia mengucapkan dua kalimah syahadat di hadapan Syekh Sadruddin Ibrahim, putera tabib terkemuka al-Hamawi.

Setelah empat bulan memerintah, Sultan Ghazan memerintahkan tenteranya menghancurkan kuil Budha, gereja dan sinagor di seluruh kota Tabriz. Di atasnya kemudian dibangun kembali masjid dan madrasah, kerana di tempat yang sama itulah dahulu Hulagu menghancurkan puluhan madrasah dan masjid yang megah. Denman berbuat demikian dia telah menebus dosa leluhurnya kepada kaum muslimin. Menurut Edward G. Browne (Literary History of Persia), Vol. II, 1956), dalam sejarah Persia Sultan Ghazan merupakan raja Mongol pertama yang mencetak wang dinar dengan inskripsi Islam. Syariat Islam kemudian kembali ditegakkan dan undang-undang kerajaan diganti dengan undang-undang baru yang bernafas Islam. Pada bulan November 1297 amir-amir Mongol mulai memakai jubah dan serban ala Persia, dan membuang pakaian adat nenek moyangnya. Walaupun perubahan itu menyebabkan banyak orang Mongol yang masih beragama Budha tidak puas, dan terus menerus menyebarkan benih – benih kebencian dan meletuskan sejumlah pemberontakan, namun pemerintahan Ghazan secara relatif adalah aman dan mantap. Reformasi lain yang dia lakukan ialah pengurangan kadar pajak dan penyusutan jumlah pelacuran dan lokasinya diseluruh negeri.

Sultan Ghazan wafat pada tanggal 17 Mei 1304 dalam usia 32 tahun disebabkan konspirasi politik yang bertujuan mengangkat Alafrank, putera saudara sepupunya Gaykhatu, sebagai raja Mongol beragama Budha. Kematiannya ditangisi seluruh Persia. Dia bukan hanya seorang negarawan muda yang bijak dan taat beribadah, tetapi juga pelindung ilmu dan sastera. Dia menyukai seni, khususnya arkitektur dan ilmu alam. Dia mempelajari astronomi, kimia, mineralogy, metalurgi, dan botani. Dia menguasai bahasa Persia, Arab, Cina Mandarin, Tibet, Hindi dan Latin. Penggantinya, Uljaytu Khudabanda (1304-1316), meneruskan kebijakannya. Tetapi raja Mongol yang paling saleh ialah Abu Sa’id (1317-1334 M), pengganti Uljaytu. Di bawah pemerintahan Abu Sa’id inilah orang Mongol Persia menjadi pembela gigih Islam serta pelindung utama kebudayaan Islam. 

Sumber : Dakwah-Info